SUKAN

PFA letak fokus utama selesaikan kemelut kewangan - Presiden

12/01/2020 06:09 PM

KANGAR, 12 Jan -- Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) meletakkan fokus utama persatuan itu untuk bebas daripada kemelut kewangan, selain pelbagai masalah lain seperti tuntutan gaji daripada pemain, yang membelenggu persatuan itu.

Presiden PFA yang baharu dilantik, Zamri Ibrahim berkata beliau juga tidak mengetahui berapakah jumlah hutang terkumpul persatuan itu, meskipun beliau sebelum ini menjadi Timbalan Presiden PFA.

“Saya tidak tahu berapa jumlah terkini hutang PFA. Ada cakap-cakap mulut kata RM800,000, RM1 juta, RM2 juta. Pelbagai... Takdak (tak ada) dokumen atau hitam putih.

“Sebelum ini saya tidak diberitahu hutang terkini PFA. Jadi kita akan buat semakan semula untuk kenal pasti jumlah terkini...Kita ingin hidupkan semula PFA kerana rakyat ternanti-nanti,” katanya kepada media selepas Kongres Luar Biasa (EGM) dan Pemilihan Jawatankuasa PFA sesi 2019-2022 di Majlis Sukan Negara, Kangar, di sini, hari ini.

Zamri, 59, adalah seorang peguam dan merupakan anak jati Perlis menggantikan presiden sebelum ini yang juga Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Arau, Zainuddin Osman.

Zamri berkata sekiranya mana-mana pihak yang ingin membuat tuntutan, perlu ada dokumen atau bukti dan mematuhi kontrak dan juga undang-undang, jika tidak tuntutan itu tidak akan dilayan.

Katanya meskipun PFA digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak awal tahun lepas, itu tidak bermakna PFA sudah terkubur dan hilang terus.

“Saya akui kita kena gantung dengan FIFA. Namun kita akan berjumpa dengan FAM untuk membuat rayuan kepada FIFA, supaya hukuman itu disemak semua. Sekurang-kurangnya beri sedikit ruang untuk PFA bermula semua. Kerana kita kena mula dari bawah,” katanya.

 

Senarai kepimpinan PFA baharu sesi 2019-2022.

 

Presiden: Zamri Ibrahim

Timbalan Presiden: Abdul Ghafur Hanafi

Naib Presiden 1: Afifi Osman

Naib Presiden 2: Adam Abdullah

Naib Presiden 3: Datuk Ismail Osman

 

Jawatankuasa Eksekutif:

Norshahril Bakar

Mohd Khomeini Halipah

Ahmad Shuhaimi Kassim

Muhammad Kaironnisam Sahabudin Hussain

Mohd Norhanizam Hamzah

Saiful Adli Sukhaimi

Ku Hasnol Farid Ku Abd Rahman

Alzafry Abu Bakar

Faizal Ismail

Sabri Ismail

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan