KUALA LUMPUR, 7 Jan -- Projek Komuniti Hab yang diwujudkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyemai semangat kejiranan dan memperkasa komuniti bandar kini mula membuahkan hasil.
Komuniti Hab di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di Kepong dan Flat Taman Dagang Fasa 2A di Ampang bukan sahaja digunakan penghuninya untuk berkumpul bertanya khabar, tetapi juga sebagai pusat aktiviti seperti gotong-royong, beriadah, membaca buku, sambutan perayaan dan pelbagai lagi.
Suri rumah Rosmawati Saleh, 36, yang tinggal di PPR Beringin berkata anak-anaknya menjadikan hab itu tempat menunggu bas sekolah sambil membaca buku.
“Di sini kanak-kanak sekitar 50 hingga 100 orang. Diharap hab ini dapat diluaskan kerana kini ia sempit untuk mereka berkumpul, walau bagaimanapun hab ini adalah yang terbaik,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Komuniti Hab PPR Beringin Mohd Faizul Fadzlah Shariff, 36, berkata sejak komuniti hab itu diwujudkan, semangat kejiranan semakin erat dan sikap saling bekerjasama dapat dipupuk dengan mudah berbanding dahulu.
Beliau berkata sebelum ini penduduk hanya meluangkan masa di taman permainan dan duduk di bawah blok rumah sahaja, tetapi dengan adanya hab ini berserta pelbagai aktiviti, ia menjadi satu pusat untuk penduduk di situ berkumpul dan berinteraksi dengan lebih meluas lagi, melangkaui blok-blok yang mereka huni.
“Biasanya kami akan melakukan pelbagai program melibatkan kanak-kanak, remaja dan ibu bapa. Contohnya, aktiviti program Tahun Baharu, ada permainan, bengkel, latihan kompang dan menonton bola sepak di layar skrin besar,” kata Mohd Faizul Fadzlah.
Sementara itu, Pengerusi Projek Komuniti Hab Flat Taman Dagang Fasa 2A, Abdullah Abd Raffar, 59, berkata komuniti hab menggunakan kontena yang diubah suai menjadi ruang pelbagai guna, dengan dilengkapi ruang bacaan dan perpustakaan mini, telah menjadi tempat khas penduduk kawasan itu untuk bersantai.
“Kalau dulu mereka akan melepak atau menjalankan aktiviti di parkir kereta di kawasan perumahan, kini mereka mempunyai tempat yang lebih ceria untuk berinteraksi.
“Ini tempat khas untuk semua ...ada landskap, lantai di luar lebih cantik dan ada tempat bermain seperti teng-teng yang selalu digunakan kanak-kanak pada waktu petang. Bilik juga digunakan untuk tuisyen dan belajar mengaji. Semua aktiviti dilakukan di sini,” katanya.
Bagi pesara Yaccob Hussin, 67, komuniti hab merupakan tempat yang amat disukainya.
“Masyarakat sini berbilang bangsa ...kalau ramai turun, kita boleh lihat kepelbagaian antara kita ...jadi bolehlah kita mengenali lebih rapat. Yang kita tidak kenal, akan jadi kenal,” katanya.
Projek komuniti hab pertama diwujudkan di PPR Beringin pada 13 Okt 2018, manakala yang kedua di Flat Taman Dagang Fasa 2A pada 14 Dis lepas.
Projek itu memberi penekanan khusus untuk komuniti B40 dalam memastikan kehidupan di bandar yang lebih sejahtera, sesuai didiami atau ‘liveable’ dan mampan dalam menjalankan aktiviti seharian dan menggalakkan interaksi yang sihat selaras dengan Dasar Komuniti Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial