AM

PAAB bantu sekolah terkesan akibat pembinaan Loji LRA Langat 2

06/01/2020 06:33 PM

HULU LANGAT, 6 Jan -- Prihatin dengan kesan langsung yang dihadapi pelajar dan guru sekolah dengan pembinaan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengambil inisiatif melancarkan PAAB Schools Sustainability Programme 2019-2020.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali berkata inisiatif fasa pertama itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Nanding dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding di Hulu Langat serta SK Ampang dan SMK Taman Kosas di Ampang. 

"Pemilihan berkenaan berdasarkan kesan langsung yang diterima akibat pembinaan LRA terbesar di Asia Tenggara itu seperti kerosakan struktur akibat pemasangan cerucuk dan kerja-kerja pemasangan paip di sepanjang jalan dan kawasan yang terlibat.

“Inisiatif itu dilaksanakan di bawah program tanggungjawab sosial koporat (CSR) PAAB bagi membantu mereka yang terkesan sepanjang pembinaan LRA yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2022,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini hari ini. Hadir sama, Pengerusi PAAB Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani. 

Abdul Hadi berkata program itu juga merupakan sebahagian fokus libat urus PAAB dalam memberi pendedahan mengenai kepentingan memelihara sumber air, penjimatan air dan menghargai bekalan air bersih kepada 5,000 pelajar dan guru di sekolah-sekolah berkenaan. 

"Ia akan dilaksanakan menerusi Kempen Kesedaran Air, projek kelestarian alam sekitar, program tahunan sekolah serta beberapa aktiviti lain yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pemaju dan kontraktor Projek LRA Langat 2. 

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata dari segi bantuan pula menerusi peruntukan khas sepanjang tahun 2020, kesemua empat sekolah berkenaan juga akan menerima bantuan persekolahan dari semasa ke semasa termasuk bantuan Back to School kepada 250 pelajar kurang berkemampuan. 

"Hari ini juga, keempat-empat sekolah itu menerima sumbangan zakat wakalah PAAB berjumlah RM5,257.50," katanya.

Menyentuh mengenai kemajuan LRA Langat 2 bernilai RM3.7 bilion yang berupaya membekalkan 1,130 juta liter air sehari kepada penduduk Lembah Klang, Abdul Hadi menjelaskan keseluruhan projek itu telah mencapai 80.88 peratus setakat Disember lepas.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi menjelaskan hanya tinggal tiga lagi negeri yang masih belum memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air dengan PAAB.

"Negeri-negeri itu ialah Kedah, Terengganu dan Pahang. Kelewatan ini bukan disengajakan tetapi ia ada kaitan dengan butiran perjanjian dan proses menandatangani perjanjian itu dijangka selesai pertengahan tahun ini," katanya. 

Jelasnya, melalui penstrukturan semula itu, PAAB akan mengambil alih aset termasuk semua hutang  berkaitan pengendali bekalan air dari negeri-negeri itu yang akan dipindahkan kepada syarikat milik Kementerian Kewangan berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan