AM

Ryniee, pelajar SMK Tenghilan yakin muzik tradisional mampu dijadikan kerjaya profesional

02/01/2020 11:25 AM

TAMPARULI, 2 Jan -- Yakin bidang muzik tradisional mempunyai masa hadapan dan mampu dijadikan kerjaya profesional membuatkan seorang remaja berusaha melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan untuk mencapai impian menjadi guru muzik.

Minat menceburi permainan muzik tradisional tercetus sejak zaman kanak-kanak, apabila kehidupan Ryniee Ryem, 16, dari Kampung Somodon, Topokon di sini, banyak terdedah kepada bidang berkaitan kerana ibu bapanya adalah penggiat seni muzik tradisional etnik Dusun.

Pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenghilan, Tamparuli itu, mula berjinak-jinak bermain muzik tradisional dan moden dengan mengikuti kelas muzik kendalian Sekolah Menengah Advent Tamparuli sejak 2015.

"Saya boleh bermain alat muzik tradisional seperti sompoton solo, sompoton kembar, kulintangan, marimba, dram, bangau dan binabad, namun masih terus mendalami permainan alat itu.

"Bagi alat muzik moden pula, saya pandai bermain piano, gitar dan violin," katanya kepada Bernama, di sini.

Ryniee berkata walaupun masih baharu dalam dunia muzik, beliau sering mendapat undangan membuat persembahan muzik tradisional di daerah lain dan sekitar termasuk Kota Kinabalu.

Pendedahan awal diterima Ryniee dalam muzik tradisional menjadikan dirinya lebih matang dan berani, sehingga mampu memberi persembahan luar biasa serta mengagumkan penonton.

Dengan menganggotai kelab koir dan kebudayaan SMK Tenghilan dan menjadi pemain muzik Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA), banyak membantu mematangkan lagi kemahiran muzik tradisionalnya.

"Muzik adalah terapi minda dalam membantu penjagaan kesihatan, selain boleh menghiburkan orang yang berada dalam kedukaan," katanya.

Sehubungan itu, Ryniee berharap bidang muzik tradisional wajar diangkat menjadi kerjaya profesional agar setanding kedudukan kerjaya lain.

--  BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan