POLITIK

KADOH AGUNDONG SERTAI WARISAN

21/12/2019 09:12 PM

TENOM, 21 Dis -- Veteran politik Sabah Datuk Kadoh Agundong hari ini mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau yang terkenal dengan gelaran “giant killer” itu menyerahkan borang keahliannya kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony merangkap Naib Presiden Warisan, di sini.

Kadoh yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap dan bekas Ahli Parlimen Padas sebelum ini pernah menggalas jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri pada era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Saya melihat dalam tempoh hampir dua tahun ini Warisan melaksanakan tanggungjawab dengan  baik kepada rakyat dan saya yakin kerajaan hari ini akan dapat membela nasib rakyat dalam tempoh jangka panjang,” kata bekas Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas selepas menyerahkan borang permohonan menyertai Warisan di Majlis Santai Krismas Pusat Daerah Mengundi Pamilaan, di sini.

Turut mengumumkan menyertai Warisan pada majlis itu adalah bekas Timbalan Ketua Bahagian PBS Melalap Blasius Masunig.

Sementara itu, Peter berkata kerajaan Sabah hari ini sangat mengalu-alukan penyertaan pemimpin berpengalaman seperti Kadoh untuk bersama-sama membangunkan Sabah.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan