EKONOMI

DBKL peruntuk RM2.972 bilion untuk Belanjawan 2020

16/12/2019 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.972 bilion bagi Belanjawan 2020 untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi kesejahteraan dan kemakmuran warga kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata belanjawan bertemakan 'Bandar Raya Ceria, Kemakmuran Bersama’ itu memperuntukkan RM1.826 bilion atau 61.5 peratus untuk perbelanjaan mengurus manakala RM1.146 bilion (38.5 peratus) untuk pembangunan.

Peruntukan pembangunan terbahagi kepada pembiayaan berjumlah RM696.5 juta (60.8 peratus) manakala pembiayaan daripada kerajaan dan lain-lain berjumlah RM449 juta (39.2 peratus).

"DBKL telah memperuntukkan RM661 juta meliputi 73 projek jalan, saliran, cerun dan longkang yang sebahagian besarnya adalah untuk mengatasi masalah banjir kilat di sekitar ibu kota.

"Bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di seluruh ibu kota, DBKL turut akan bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kerja-kerja penurapan semula jalan dengan menggunakan 'Rubberised Bitumen', " katanya ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2019 di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata pihaknya turut memperuntukkan RM20 juta untuk pengurusan bas percuma GoKL pada tahun hadapan dengan perancangan untuk menambah dua lagi laluan perkhidmatan 'first mile' di sekitar ibu kota.

"Sebanyak RM26.5 juta diperuntukkan untuk program sewaan peralatan Integrated Transport Information System (ITIS) yang melibatkan penggunaan CCTV dan VMS (Video Management Software) yang mana 309 CCTV untuk polis dan 691 CCTV untuk pemantauan trafik.

"DBKL juga telah menjadikan Jalan Kinabalu menghala ke Cheras sebagai laluan free-flow iaitu laluan tanpa kawalan oleh lampu isyarat di persimpangan Jalan Kinabalu/Jalan Maharajalela bermula 14 Dis," katanya.

Beliau berkata, RM10 juta diperuntukkan untuk menaiktaraf pemasangan lampu LED (Light Emitting Diode) di lima buah taman awam iaitu Taman Tasik Datu Keramat, Taman Dusun Bandar, Taman Kejiranan Air Panas, Taman Bukit Jalil dan Taman Alam Damai.

"Sebanyak 45,100 unit lampu jalan jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) kepada LED telah dipasang dan akan meneruskan penggantian mana-mana baki lampu jalan pada tahun 2020.

"Selain itu, RM7.5 juta akan digunakan untuk membaikpulih dan menaiktaraf bangunan warisan iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad dan Panggung Bandaraya," katanya.

Menurutnya, empat buah perpustakaan rangkaian akan siap sepenuhnya pada tahun hadapan iaitu Pustaka KL@Pudu Ulu, Pustaka KL@Masjid Al-Rahimah, Kg Pandan, Pustaka KL@ PPR Sri Semarak dan Pustaka KL@PPR Sri Kelantan sempena Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020.

"Dalam memenuhi keperluan penduduk ibu kota, RM65 juta diperuntukkan untuk projek Perumahan Awam Council Home di Kampung Sungai Udang yang dijangka disiapkan pada akhir tahun hadapan.

"Projek pembangunan semula Pasar Raja Bot dengan kos keseluruhan RM142.8 juta dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022 dan RM28 juta diperuntukkan untuk projek pembangunan semula Pasar Harian Selayang yang boleh menempatkan 754 lot tapak niaga yang dijangka siap pertengahan tahun 2020," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan