KUALA LUMPUR, 14 Dis -- Warga kota kini berpeluang merasai pengalaman beriadah dalam suasana seolah-olah berada di hutan rimba menerusi kemudahan baharu Kanopi Banjaran Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa di sini yang bakal dibuka semula kepada umum esok.
Penolong Pengarah (Landskap) Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Mohd Anuar Ahmad berkata kanopi sekitar 60 meter itu turut dilengkapi air terjun buatan bagi melengkapkan lagi elemen alam semula jadi dalam taman tasik yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu.
"Dengan mewujudkan suasana yang lebih hijau seperti ini kami harapkan orang ramai dapat beriadah dengan lebih tenang, damai dan selesa walaupun berada di bandar yang sibuk," katanya kepada Bernama.
Mohd Anuar berkata selain kanopi, antara kemudahan baharu yang dijangka mendapat perhatian ialah taman permainan air kanak-kanak dengan paras air sekitar 300 milimeter untuk aktiviti mandi-manda.
"Kami bina kolam mandi ini dengan paras sekitar atas buku lali sahaja bagi membolehkan kanak-kanak di bawah umur tiga tahun boleh menggunakannya di bawah pengawasan ibu bapa," katanya.
Lebih membanggakan, taman tasik yang dirasmikan pada 1 Feb 1980 itu dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa 'High Fountain Jet' dengan keupayaan pancutan air setinggi 100 meter, bersamaan setinggi bangunan 30 tingkat.
Menjelas lanjut, katanya kawasan itu juga kini dilengkapi 'maze garden' menggunakan pokok kemuning yang dinamakan Laman Kerawang bagi menambah seri landskap taman tasik berusia hampir 40 tahun itu.
Mohd Anuar berkata antara penambahbaikan kemudahan sedia ada ialah trek joging sejauh 4.5 kilometer (km) dan trek berbasikal (2.5 km) yang dibina secara berasingan untuk faktor keselamatan.
Beliau berkata penambahbaikan taman itu juga direka agar bersifat inklusif dan boleh digunakan semua lapisan masyarakat termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Taman Tasik Titiwangsa ditutup pada 1 Sept tahun lepas bagi memberi laluan terhadap kerja-kerja penambahbaikan dan pengindahan kawasan itu membabitkan keluasan 20.23 hektar.
Sementara itu, orang ramai juga melahirkan keterujaan apabila mengetahui taman itu akan dibuka semula dan berdasarkan tinjauan Bernama, taman tasik itu masih dipenuhi pengunjung yang beriadah menggunakan kawasan yang tidak ditutup.
Suri rumah Sazila Ismail, 35, yang berkunjung bersama tiga anaknya, berkata beliau dan keluarga tidak sabar menggunakan kemudahan baharu taman itu yang dilihat menerusi laman YouTube.
"Sebelum tutup dulu pun kami sekeluarga datang setiap minggu, bila dah tutup memang tak tahu nak pergi mana. Jadi bila anak-anak tengok video taman permainan baharu lagilah mereka teruja nak datang, " katanya.
Pesara polis Yang An Leng, 74, pula berkongsi keterujaan dua cucunya yang mahu mencuba taman permainan air.
"Hari ini pun mereka ajak saya pergi untuk mandi-manda di situ tapi saya terangkan belum buka lagi dan perlu tunggu Ahad," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial