AM

MDFA 2019 di Finas Sabtu ini

10/12/2019 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis  – Sejumlah 85 penyertaan akan  merebut 16 kategori anugerah  pada acara  Malaysian Digital Film Awards atau Anugerah Filem Digital Malaysia (MDFA) ke-4 di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang pada Sabtu ini.

Acara dua tahun sekali itu dianjurkan oleh Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) dengan kerjasama Finas.

Kurator MDFA, Dr Fikri Jermadi berkata penyertaan terdiri daripada penerbitan pelbagai genre, antaranya Filem Cereka Digital, Filem Pendek Digital,  Dokumentari Digital, Animasi Digital dan  Video Muzik Digital.

“Dengan perkembangan teknologi digital, kami menganjurkan anugerah ini  bagi mencari produk digital terbaik dengan pelbagai kandungan yang memenuhi cita rasa pelbagai segmen audiens,” katanya kepada Bernama.

Turut dianjurkan secara serentak dengan MDFA ialah Young Filmmakers Forum atau Forum Pembikin Filem Muda (YFF) yang membincangkan pelbagai isu mencakupi bidang perfileman dan multimedia.

Fikri berkata untuk  edisi keempat ini, YFF  menampilkan tiga pembikin filem muda iaitu  Ineza Roussille (pengarah ‘M for Malaysia’),  Muzzamer Rahman (pengarah ‘Prebet Sapu’) dan Nadiah Hamzah (pengarah ‘Motif’).

Antara pemenang terdahulu ialah  Ellie Suriati Omar dengan filem ‘Penanggal’ yang dipilih sebagai Filem Cereka Digital Terbaik dalam MDFA 2013.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan