NEW CLARK CITY, (Filipina), 8 Dis -- Pasukan memanah recurve lelaki negara gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi sejak edisi 2011 di Indonesia selepas tewas kepada Indonesia dengan keputusan 4-5 pada aksi final acara berkenaan di Sukan SEA ke-30 di Filipina, di sini hari ini.
Pada acara yang berlangsung di Clark Parade Grounds, trio negara yang dibarisi Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli terikat 4-4 dengan pasukan Indonesia yang diwakili oleh Arif Pangestu, Hendra Purnama dan Riau Ega Salsabila pada aksi penuh mendebarkan.
Pemanah Indonesia akhirnya mengesahkan emas milik mereka setelah mencatat 29 mata berbanding Malaysia dengan 27 mata pada penentuan panahan, sekali gus meleburkan impian skuad negara untuk mengekalkan emas pada empat edisi terdahulu -- 2011 (Indonesia), 2013 (Myanmar), 2015 (Singapura) dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Pingat gangsa pula dimenangi oleh pasukan Thailand yang melakar kemenangan selesa 6-0 ke atas Vietnam pada aksi penentuan pingat gangsa.
Khairul Anuar yang ditemui pemberita selepas acara berkenaan mendedahkan, tiupan angin yang kuat sewaktu skuad negara melakukan panahan jelas memberi kesan kepada pungutan mata mereka pada aksi final hari ini, sambil mengakui ia merupakan pencapaian terburuknya dalam Sukan SEA.
“Semasa panahan penentuan, Indonesia tiada masalah angin, manakala pasukan kita berdepan dengan angin, dan saya panah macam biasa, tetapi tiada rezeki untuk pasukan kita.
“Secara peribadi, memang agak kecewa dengan apa yang terjadi di sini, namun kita akan pandang ke hadapan kerana kita mempunyai misi lebih penting, iaitu Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata pemanah negara itu yang membuat penampilan sulung pada temasya Sukan Olimpik 2012.
Berkongsi pandangan sama adalah Haziq yang mengakui rezeki lebih memihak kepada Indonesia pada kali ini.
“Kita sentiasa akan memberikan tentangan sehingga perlawanan tamat, dan kita sudah cuba yang terbaik, namun keputusan tidak memihak kepada kita, dan kita akan fokus kepada beberapa kejohanan selepas ini,” jelasnya.
Muhammad Zarif Syahiir pula menyifatkan pendedahan pada penampilan sulung Sukan SEA kali ini menjadi medan terbaik untuk dirinya bagi memperbaiki persembahan untuk menghadapi kejohanan seterusnya.
Khairul Anuar turut meraih meraih pingat peribadi kedua pada Sukan SEA kali ini bersama Nur Afisa Abdul Halil dalam acara recurve campuran selepas menewaskan pasangan Myanmar, Oo Htike Linn dan Nwe Thidar dengan keputusan 5-1 pada aksi penentuan pingat gangsa acara recurve campuran.
Skuad compound negara akan memulakan pemburuan emas pada dalam lima acara esok, lelaki dan wanita individu, berpasukan lelaki dan wanita, serta berpasangan campuran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial