KUALA LUMPUR, 8 Dis -- Golongan asnaf, fakir miskin, mualaf dan berpendapatan rendah (B40) antara 61 pasangan pengantin baharu yang diraikan dalam persandingan beramai-ramai pada majlis Walimatul Urus Rahmah 100 Cinta Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata pasangan pengantin baharu tersebut diberikan set persalinan lengkap perkahwinan dan penginapan bagi keluarga pasangan serta wang tunai RM1,000 dan bantuan perkahwinan daripada Baitumal MAIWP.
"MAIWP telah membantu 325 pasangan dengan jumlah bantuan RM714,000 pada tahun ini. Bantuan ini bertujuan meringankan beban pengantin dalam mengadakan majlis persandingan dengan bantuan antara RM2,000-RM3,000.
"Para pasangan pengantin berpeluang merasai kemeriahan dan keseronokan dalam melangsungkan majlis perkahwinan. Acara ini diraikan untuk memberi dorongan dan motivasi kepada masyarakat supaya meninggalkan gaya hidup tidak sihat dan memilih mendirikan rumah tangga melalui ikatan perkahwinan yang sah di sisi agama," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Abdul Aziz berkata majlis tersebut merupakan anjuran pihaknya bersama-sama Pertubuhan Amal dan Sukarelawan Batu (PASB), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Lebih menarik lagi majlis tersebut dimulakan dengan pengantin diarak masuk diiringi paluan kompang dan disambut meriah oleh kira-kira 10,000 tetamu.
Dalam pada itu, kemeriahan majlis tersebut juga diserikan dengan upacara pernikahan satu daripada pasangan itu, Muhammad Rizuan Osman dan Nursyareza Mansor yang diselesai disempurnakan dengan sekali lafaz pada hari ini.
Muhammad Rizuan berkata beliau dan keluarga berterima kasih kepada MAIWP kerana inisiatif yang diberikan dapat meringankan bebannya untuk melangsungkan perkahwinan dengan insan tercinta dan pastinya menjadi kenangan bermakna untuk dikongsikan bersama keluarganya apabila disandingkan beramai-ramai hari ini.
"Tidak pernah terfikir untuk bersanding beramai-ramai, kami sangat teruja. MAIWP bukan sahaja meraikan pengantin tetapi juga keluarga kami. Mereka berikan tempat penginapan di hotel serta set persalinan persandingan untuk saya dan isteri. Terima kasih," kata Muhammad Rizuan yang bekerja sebagai penyelenggara sektor swasta.
Berkongsi kegembiraan yang sama adalah pasangan mualaf, Muhammad Haris Abdullah dan Mira Abdullah, masing-masing adalah anak yatim piatu.
Berkenalan selama dua tahun sebelum diijabkabulkan pada Mei lepas, pasangan tersebut memilih menganut agama Islam pada Februari tahun ini kerana didorong oleh masyarakat sekeliling dan menyifatkan Islam mengajar mereka supaya lebih tenang selain agama yang mudah difahami.
Mira, 20, yang juga anak tunggal, berkata beliau berterima kasih kepada MAIWP kerana dapat merealisasikan impiannya untuk berkahwin dalam satu majlis yang sempurna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial