Laporan Eksklusif Oleh: Massita Ahmad
SINGAPURA, 7 Dis -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus agresif memasarkan produk-produk Halal keluaran usahawan tempatan di luar negara, terutama Singapura.
Bagi Halal International 2019 anjuran Mega Xpress International yang sedang berlangsung selama empat hari bermula 5 Dis, kerajaan negeri telah membawa 12 lagi usahawan dari Pulau Mutiara itu bagi mendapatkan pendedahan yang lebih kompetitif.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa berusaha untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing dan kompetitif,” kata Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa Negeri Pulau Pinang, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq kepada Bernama hari ini.
Khaliq Mehtab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam ditemui selepas merasmikan Promosi Produk Usahawan Bumiputera Pulau Pinang sempena Halal International 2019 yang berlangsung di Singapore Expo, Changi sehingga 8 Dis ini.
Menurutnya kerajaan negeri akan sentiasa menyokong usahawan tempatan sehingga mereka dapat berdiri atas kaki sendiri dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan pada masa hadapan.
Menurut kenyataan yang disediakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, enam usahawan Industri Asas Tani dengan 40 unit penyimpanan stok (SKU) di bawa menyertai Halal International kali ini.
Dua lagi usahawan adalah dari agro pelancongan dan baki empat usahawan membawa 10 menu makanan popular Pulau Pinang.
FAMA Pulau Pinang menyasarkan jualan tunai sebanyak RM120,000 sepanjang Halal International 2019 berlangsung dan sasaran kontrak jualan berjumlah RM150,000.
Menurut Khaliq Mehtab produk usahawan Pulau Pinang tidak akan terhenti di peringkat ekspo begini malah akan turut dipasarkan di rangkaian pasar raya termasuk yang terkini HAO Halal Mart yang mempunyai 46 outlet di sini.
“Saya berkesempatan bertemu dengan pihak pengurusan HAO di sini semalam. Kerjasama ini diharapkan dapat melonjakkan ekonomi usahawan tempatan kita,” katanya.
Program Pemasaran Luar Negara bagi usahawan Pulau Pinang khususnya di republik ini telah memasuki tahun ke empat bermula Ogos 2016 lagi dengan penglibatan seramai 37 orang usahawan dengan 122 SKU produk telah mendapat peluang pasaran di sini.
Ia melalui penyertaan eskpo dan memasuki pasaran Singapura melalui Agrobazaar Malaysia Singapura di Malaysia Halal Centre, Pasaraya Big Box dan Global Halal.
Nilai jualan terkumpul dari 2016 hingga Oktober 2019 berjumlah RM511,033.31.
Darpada keseluruhan bilangan usahawan Pulau Pinang tersebut, 27 orang dengan 87 SKU dikenal pasti masih mendapat permintaan di pasaran Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial