Oleh Mohd Shukri Ishak
JAKARTA, 6 Dis -- Malaysia merancang mewujudkan satu sistem perhubungan darat yang lebih efisyen, bagi menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan ibu kota baharu Indonesia, yang dirancang dibangunkan di Kalimantan Timur.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata ia adalah bagi merancakkan lagi potensi ekonomi dan peluang-peluang baharu, untuk kepentingan kedua-dua negara.
"(Menerusi kerajaan negeri ) Sabah dan Sarawak, (kita) membuat perancangan pembangunan, dan memperpanjangkan perjalanan (jalan darat di kedua-dua negeri itu), agar lebih efisyen, khususnya untuk menghubungkan bandar-bandar di Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat peringkat menteri pengangkutan ke-12 bagi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di Jakarta, hari ini.
Pada Ogos lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan perpindahan ibu kota Indonesia di Jakarta ke lokasi baharu yang terletak di Kalimantan Timur, yang melibatkan dua kabupaten iaitu Kutai Kertanegara dan Penajam Paser Utara.
Mengikut perancangan, kerja-kerja pembangunan infrastruktur ibu kota melibatkan kawasan seluas 6,200 hektar itu akan dimulai tahun hadapan dan dijangka siap menjelang tahun 2025, melibatkan kos Rp466 trilian.
Pemilihan Kalimantan sebagai ibu kota baharu Indonesia itu, adalah berdasarkan wilayah Kalimantan Timur, bebas dari bencana alam dan bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Indonesia, dalam misi mereka mencapai negara maju menjelang tahun 2045.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial