KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Ketua kontinjen negara ke Sukan Para Asean Ke-10 Filipina 2020 Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yakin tuan rumah lebih bersedia bagi menghadapi temasya itu pada Jan 18 hingga 25.
Bagaimanapun, Megat Shahriman berkata kontinjen negara sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan atau masalah yang mungkin akan dihadapi sepertimana kontinjen Sukan SEA.
"Saya rasa jawatankuasa penganjur sudah ambil maklum mengenai masalah yang dihadapi dan sedaya upaya akan mengatasi kekurangan yang dihadapi.
"Kita tahu mereka masih baharu, dan kita harus juga memberi peluang kepada mereka untuk melakukan persiapan. Bagi kontinjen negara pula, saya pasti kita akan lebih bersedia kali ini," katanya.
Beliau ditemui pada Kem Latihan Akhir kontinjen negara ke temasya itu di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan.
Sementara itu, Megat Shahriman berkata kontinjen negara seramai 364 atlet dan pegawai mengambil bahagian dalam 16 jenis sukan terdiri daripada 370 daripada 816 acara yang dipertandingkan.
Mengenai persiapan atlet, beliau berkata kesemua atlet telah menunjukkan komitmen yang baik dan serius menjalani latihan mereka sejak dari awal tahun lagi.
"Semua atlet akan berkampung di kem latihan akhir ini dan kita sediakan pelbagai bengkel untuk kemantapan fizikal dan mental. Walaupun tidak semua hadir kerana menjalani latihan di luar, kita akan berkumpul kembali sebelum berlepas ke Filipina pada 14 Jan nanti," katanya.
Ditanya mengenai sasaran, Megat Shahriman berkata perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum kontinjen berlepas ke Filipina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial