AM

Tinggikan tiang rumah tetap juga kena banjir - penduduk

01/12/2019 07:30 PM

SETIU, 1 Dis -- "Ingatkan dah habis RM30,000 tinggikan tiang rumah tak perlu pindah, rupa-rupanya kena pindah juga sebab air tetap masuk ke dalam rumah," kata seorang penduduk Kampung Nyatoh, di sini yang rumahnya dinaiki air akibat banjir.

Mariam Sulong, 63, berkata hampir setiap tahun rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Setiu akan dinaiki air sehingga melebihi paras pinggang.

Disebabkan masalah tersebut, beliau serta beberapa penduduk kampung mengambil inisiatif mengeluarkan wang berpuluh ribu ringgit mengupah tukang rumah untuk meninggikan tiang rumah sebanyak 2.13 meter (tujuh kaki) bagi mengelak masalah sama berulang.

"Dulu-dulu kawasan ini memang biasa dinaiki air, tetapi tidaklah sampai melimpah masuk ke dalam rumah.

Bagaimanapun selepas banjir besar pada 2013, keadaan banjir yang berulang setiap tahun semakin teruk menyebabkan makcik perlu bersiap sedia dan memindahkan barang-barang rumah lebih awal bagi mengelak kerosakan," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Kampung Nyatoh di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Mahmud, 67, berkata beliau pula sudah membelanjakan wang simpanan sebanyak RM50,000 bagi meninggikan tiang rumahnya sebanyak 2.74 meter (sembilan kaki).

Menurut Abdul Rahim, beliau serta penduduk tiada cara lain dan mendakwa pembinaan jalan raya baharu di sekitar Kampung Nyatoh menyebabkan kawasan penempatannya menjadi semakin rendah dan mudah terdedah kepada banjir apabila hujan lebat dan air sungai melimpah.

"Hujan lebat sejak semalam menyebabkan rumah pakcik dan sembilan keluarga lain di sini dimasuki air sampai ke paras pinggang dan itu belum lagi berlaku limpahan air sungai. Nampaknya memang setiap tahunlah kena pindah. Kalau nak tinggikan lagi tiang memang kami orang kampung dah tidak ada duit.

Ini kerana upahnya agak mahal iaitu RM1,000 sekaki (0.3 meter). Jadi bayangkan berapa banyak yang kami kena belanja kerana rumah kampung biasanya memang banyak tiang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan