JOHOR BAHRU, 26 Nov -- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar malam ini berkenan merasmikan Menara Johor Land (JLand) yang terletak di Jalan Wong Ah Fook di sini.
Baginda yang tiba di majlis perasmian itu kira-kira pukul 7.30 malam, disambut Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Kamaruzzaman ketika berucap berkata menara setinggi 37 tingkat itu mula dibina pada 2014 dan siap sepenuhnya pada tahun lepas.
Katanya, ia menempatkan ruangan niaga melebihi 300,000 kaki persegi yang boleh disewa serta dilengkapi dengan “Skyscape” iaitu jambatan kaca telus pandang, daripada tingkat 34 dengan ketinggian 149 meter dari aras tanah.
“Ia juga mempunyai ‘Kafe Roof Top’ dan ‘dek pemerhatian’ pada ketinggian yang sama untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor dan Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun hadapan.
Kamaruzzaman berkata, apa yang lebih menarik mengenai pembinaan menara ini ialah, ia menekankan ciri-ciri teknologi hijau termasuk tingkap kalis ‘ultraviolet’, pemasangan sensor gerakan bagi mengawal selia penggunaan elektrik dan dinding kaca dengan penyerapan haba rendah.
Katanya, ciri ini dapat membantu menjimatkan kos tenaga sehingga 70 peratus.
Kamaruzzaman berkata, pembangunan menara terletak strategik di pintu masuk Ibrahim International Business District (IIBD), serta Iskandar Malaysia dari arah Singapura itu juga, adalah selari dengan hasrat JCorp dalam merealisasikan aspirasi Sultan Johor dalam IIBD.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial