KUALA LUMPUR, 22 Nov -- Tiga penulis tanah air - Rejab Ismail, Zainal Abidin Suhaili dan Dr Mawar Safei - dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) bagi 2016, 2017 dan 2018.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran ketika berucap mengumumkan penerima anugerah itu berkata, pemilihan calon tidak dinilai berasaskan sesuatu karya yang dihasilkan tetapi secara holistik.
“Panel penilai membuat penilaian terhadap kekuatan karya yang dihasilkan, serta sumbangan karya tersebut kepada masyarakat,” katanya.
Majlis anugerah yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Isnin ini, bertujuan memberi pengiktirafan kepada penyair dan penulis ulung di rantau ASEAN.
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi 2016, Rejab Ismail, 78, menyifatkan anugerah yang diterima sebagai penghargaan, setelah lebih setengah abad berkecimpung dalam dunia penulisan sejak berusia 19 tahun.
“Sehingga kini, pelbagai genre penulisan saya hasilkan seperti novel (dewasa, remaja dan kanak-kanak), cerpen, puisi, cerita rakyat dan esei,” kata anak kelahiran Perlis yang pernah memenangi pelbagai anugerah antaranya Tokoh Budaya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) 2008 dan Tokoh Bahasa dan Sastera Perlis 2013.
Zainal Abidin Suhaili, 54, atau lebih dikenali sebagai Abizai yang merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi 2017, pula berkata beliau mula serius dalam penulisan puisi dan rencana sejak awal 1980-an dan usaha itu membuahkan hasil, apabila dipilih menerima anugerah tersebut.
“Sebanyak sembilan puisi berjaya dihasilkan selain saya bercadang untuk menerbitkan puisi terbaharu serta kumpulan esei dan kritikan dalam masa terdekat,” kata bekas penuntut Universiti Sains Malaysia dalam bidang Kesusateraan Melayu itu.
Karya tulisan beliau banyak disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Utusan Borneo dan Utusan Sarawak.
Sementara itu, anak kelahiran Johor berusia 48 tahun, Dr Mawar Safei, penerima anugerah sama bagi tahun 2018, berkata titik permulaan beliau dalam bidang penulisan, bermula sejak tahun 90-an yang mengangkat persoalan alam sekitar dengan memasukkan data serta fakta saintifik dalam karya penulisan.
Beliau yang kini memegang jawatan Prof Madya di Pusat Pengajian Bitara Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, turut menerima banyak anugerah sastera sejak 1994, antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan Sayembara Penulisan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Sepanjang tempoh terlibat dalam bidang penulisan, Mawar telah menghasilkan 75 cerpen, 200 rencana serta 100 kertas pembentangan selain membuat penyelidikan dalam bidang sastera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial