SUKAN

Malaysia benam Indonesia 2-0

19/11/2019 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Malaysia mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas seteru utamanya, Indonesia dalam aksi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.

Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Harimau Malaya membuka jaringan menerusi sepakan percuma melencong Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-29.

Safawi sekali lagi mengegarkan stadium menerusi jaringan pada minit ke-72 dengan melakukan rembatan kencang dari sudut kiri palang gol yang deras melepasi Muhammad Ridho ke dalam gawang skuad Garuda Merah Putih itu.

Indonesia mendapat peluang keemasan untuk mendapatkan gol apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Farizal menjatuhkan Febri yang berjaya melakukan larian ke dalam kotak penalti pada minit ke-82, namun Mohd Farizal bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti penyerang kelahiran Nigeria, Osas Marvellous.

Kali terakhir Indonesia mencatatkan kemenangan ke atas Malaysia di Stadium Nasional adalah kemenangan 4-1 pada separuh akhir saingan Piala AFF 2005, manakala Malaysia mencatatkan kemenangan 3-0 dan 2-0 dalam kempen Piala AFF 2010 dan 2012.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan