AM

Dua kolej vokasional dipilih sertai program P-TECH IBM

20/11/2019 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Dua kolej vokasional, Kolej Vokasional (KV) Sepang dan KV Sungai Buloh telah dipilih untuk menyertai program projek perintis “IBM’s Pathways in Technology Early College High Schools (P-TECH).

Kerjasama antara IBM Malaysia, Kementerian Pendidikan dan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC), adalah bagi memastikan kesalinghubungan yang baik antara sekolah menengah, universiti, dan industri dalam langkah membangunkan aspek akademik, teknikal dan kemahiran persediaan bekerja yang lebih mantap dalam kalangan belia Malaysia.    

Buat permulaan, kira-kira 60 pelajar daripada kedua-dua KV akan menyertai program yang akan bermula tahun hadapan dengan IBM dan MDEC sebagai rakan perkongsian strategik.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif IBM untuk Asia Pasifik, Harriet Green berkata terdapat keperluan mendesak untuk kemahiran teknikal dalam banyak negara, dan P-TECH adalah sejajar dengan keperluan majikan di Malaysia. 

“Perkongsian ini akan mewujudkan laluan pembelajaran baharu terus ke pekerjaan kolar baharu dan membantu pelajar lebih memahami kaitan antara kerja  kursus, pengalaman di lapangan dan tempat kerja,” katanya pada majlis pelancaran program P-TECH itu di sini hari ini.

Pada majlis pelancaran hari ini Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) Kementerian Pendidikan Datuk Kamel Mohamed bertukar dokumen berkenaan program berkenaan dengan Pengarah Urusan  IBM Malaysia Catherine Lian dan disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim dan Green.

Program ini diwujudkan pada 2011 oleh IBM menerusi kerjasama dengan pendidik, diperkenalkan di 24 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Maghribi, Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Filipina dan Thailand. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan