BUKIT MERTAJAM, 19 Nov -- Sejumlah barangan tiruan bernilai RM5.7 juta dilupuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang bermula Januari hingga kini.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Abdul Ghapar berkata nilai itu adalah hasil rampasan menerusi 251 kes yang dibuktikan menyalahi kesalahan di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 sejak tahun 2014.
Beliau berkata hari ini, KPDNHEP menjalankan proses pelupusan pelbagai barang berjenama tiruan yang dirampas oleh cawangan Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) bernilai RM300,000.
"Barang-barang yang dilupuskan hari ini adalah hasil rampasan daripada empat kes. Antaranya beg tangan wanita, jam tangan dan aksesori telefon bimbit tiruan.
“Antara barang lain yang dilupuskan ialah kicap, minuman keras, DVD cetak rompak, dompet, tali pinggang, jersi, seluar sukan, aksesori wanita dan kasut sukan," katanya kepada pemberita di pusat pelupusan barangan eksibit KPDNHEP di sini.
Mohd Ridzuan berkata, pihaknya menjalankan proses pelupusan barang-barang yang dirampas sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial