GEORGE TOWN, 19 Nov -- Pengeluar peralatan perubatan global yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Smith+Nephew (S+N), akan membina kilang pembuatan baharunya di Taman Perindustrian Batu Kawan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kilang itu yang merupakan kemudahan pembuatan pertama S+N di Asia Tenggara dijangka mewujudkan sehingga 800 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kemudahan baharu itu buat permulaannya merangkumi kawasan seluas 23,225.76 meter persegi, dengan peluang untuk berkembang pada masa hadapan sekiranya diperlukan. Pembinaan dijangka bermula awal 2020 dengan kumpulan pengeluaran pertama dieksport pada akhir 2022,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Naib Presiden S+N Ross Macken, yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata syarikat tersebut menimbang pelbagai tempat bagi kilang itu sebelum memilih Pulau Pinang kerana lokasinya yang strategik.
Beliau berkata Pulau Pinang mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bermotivasi serta keseimbangan yang baik dalam kepakaran pembuatan.
“Keseluruhannya Malaysia sangat menarik bagi kami. Ia memiliki ekonomi stabil, sejarah pelaburan langsung asing yang panjang - semua perkara kami sangat hargai,” katanya.
Macken berkata fasa pertama kilang baharu itu akan menumpukan kepada pengeluaran implan bagi pembedahan ortopedik seperti implan pinggul dan lutut.
“Dengan peredaran masa, kami juga akan mengeluarkan produk lain bagi ubatan sukan dan pengurusan luka apabila kilang itu terus berkembang,” katanya.
S+N yang ditubuhkan pada 1856 dan ketika ini beribu pejabat di Watford, UK, mempunyai operasi di lebih 100 negara dengan hasil yang direkodkan sebanyak US$4.9 bilion (RM20.38 bilion) dan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan sebanyak US$246 juta (RM1.02 bilion) pada 2018.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial