EKONOMI

Heitech Padu perkukuh kehadiran di Indonesia

18/11/2019 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov -- HeiTech Padu Bhd (HeiTech) mengukuhkan kehadirannya di Indonesia dengan penubuhan PT Desa Tech Nusantara untuk menyediakan Sistem Koperasi Patuh Syariah -- Baitulmal Wat Tamwil (BMT), yang akan diguna pakai dalam sektor koperasi Indonesia.

PT Desa Tech Nusantara, syarikat usaha sama antara HeiTech dan PT Kirana Investama Nusantara masing-masing bagi asas 49:51, dibentuk dengan tujuan membangunkan dan menggunakan sistem BMT untuk digunakan oleh koperasi di Indonesia sebagai platform bagi menyokong program nasional republik itu yang dipanggil Gerakan Desa Emas (GDE).

GDE bertujuan untuk membantu pertumbuhan ekonomi domestik dan mempercepatkan pembangunan industri halal dan institusi kewangan Islam, terutamanya bagi kemampanan ekonomi luar bandar Indonesia.

Satu majlis permeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) diadakan untuk memformalkan kerjasama bersempena dengan Festival Ekonomi Syariah Indonesia pada 12-16 November di Pusat Konvensyen Jakarta. 

''HeiTech bersedia bagi pertumbuhan, bersedia menyediakan khidmat kepada GDE, yang merupakan program bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi  74,754 kampung di seluruh Indonesia," kata Naib Presiden Eksekutif HeiTech Padu Salmi Nadia Mohd Hilmey dalam satu kenyataan.

Beliau berkata projek usaha sama itu menawarkan potensi yang besar untuk menyediakan khidmat kepada ahli koperasi dan penduduk yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan bank di seluruh Indonesia dengan pelbagai butiran urus niaga yang ditawarkan oleh sistem. 

Peranan HeiTec adalah pembangunan sistem dan aplikasi, menyediakan pakar berkaitan, pengurusan projek dan pasukan penempatan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan