EKONOMI

Kerajaan laksana semak dan imbang mencukupi elak kes 1MDB berlaku lagi - Kadir

18/11/2019 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Kerajaan sedang melaksanakan semak dan imbang yang mencukupi serta pembaharuan bagi memastikan kes seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan berlaku lagi, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin.

Beliau berkata pembaharuan akan melindungi negara di bawah mana-mana kerajaan dan memastikan mereka tidak akan dapat menubuhkan satu lagi 1MDB.

"Walaupun sekiranya kerajaan ini tidak lagi mentadbir negara dalam pilihan raya yang akan datang, saya berharap dan saya fikir anda perlu membuat pembaharuan yang tidak boleh diubah. 

"Jadi, itulah apa yang kerajaan telah lakukan," katanya semasa sesi perbincangan panel pada majlis Konvensyen Tadbir Urus Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC) - Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2019, di sini, hari ini.

Selain itu, Kadir berkata langkah-langkah pembetulan juga telah diambil bagi memulihkan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak diuruskan dengan baik.

"Terdapat GLC yang sangat baik dan terdapat juga beberapa GLC yang tidak diuruskan dengan baik. Kita melihat satu dua kes -- iaitu agensi dan bukannya syarikat -  di mana tindakan undang-undang diambil ke atas pengerusi, ahli lembaga dan pengurusan kanan. 

“Saya fikir ini akan membawa mesej mendalam kepada sektor korporat, terutamanya GLC, bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi dengan sebarang perkara yang tidak betul dalam pengurusan syarikat-syarikat ini," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan