EKONOMI

Pertumbuhan ekonomi Kelantan dijangka lebih memberansangkan tahun hadapan

17/11/2019 10:51 PM

KOTA BHARU, 17 Nov  -- Ekonomi Kelantan dijangka lebih memberangsangkan menjelang tahun hadapan berdasarkan pertumbuhan ekonomi semasa, kata Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kelantan Zuraidy Zainal Abidin.

Zuraidy berkata berdasarkan statistik DOSM, pertumbuhan ekonomi Kelantan meningkat sebanyak 2.89 peratus pada 2018.

"Terdapat sebanyak 450,000 syarikat perniagaan pada tahun tersebut termasuk bertaraf mega yang merupakan antara pemacu perkembangan ekonomi di Kelantan. Berdasarkan unjuran semasa, ekonomi  Kelantan berada pada kedudukan positif dan bertumbuh dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Program Bicara Statistik 2019 Sempena Hari Statistik Negara Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Mohd Safri Ya di sini, hari ini.

Program yang disertai 150 orang siswa Ijazah Sarjana Muda Statistik dan pensyarah bidang pengajian itu bertujuan meningkatkan kefahaman komuniti tentang pentingnya data statistik kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Zuraidy berkata kadar pendapatan perkapita rakyat Kelantan juga dijangka meningkat menjelang tahun hadapan berbanding RM4,000 pada 2016.

"Skop pendapatan rakyat Kelantan bukan dirujuk kepada gaji sahaja, bahkan menerusi sumber lain termasuk hasil perniagaan. Ia juga didorong kemasukan wang daripada rakyat Kelantan yang bekerja di luar negeri ini yang dikirim kepada ibu bapa atau keluarga," katanya.

Katanya penyediaan kemudahan asas yang lebih baik termasuk pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, dijangka akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi di Kelantan.

Beliau berkata sektor perkhidmatan, termasuk pelancongan, merupakan antara sektor yang boleh diberi tumpuan oleh kerajaan negeri, selari dengan kemudahan yang disediakan kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain Zuraidy berkata DOSM buat pertama kali akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan banci penduduk tahun hadapan.

Katanya berdasarkan unjuran DOSM, terdapat sejumlah 1.9 juta penduduk di Kelantan tahun hadapan dan sejumlah 500 pegawai pembanci akan dilantik bagi melakukan proses bancian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan