AM

Tujuh pelajar disiasat kes rogol akan dibebaskan dengan jaminan polis

17/11/2019 02:25 PM

TAWAU, 17 Nov --  Tujuh pelajar lelaki yang ditahan reman bagi siasatan kes rogol akan dibebaskan esok dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata pihaknya telah menyelesaikan siasatan  kes berkenaan dan  tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh tahanan reman tujuh pelajar berusia 17 tahun itu yang akan tamat esok.

"Polis juga mengambil kira kesemua mereka ini akan terlibat dengan peperiksaan Sijil SPM tahun ini, kita akan bebaskan mereka dengan jamin polis dahulu.

"Mangsa juga sudah menjalani rawatan pemeriksaan di hospital," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Fun Ride dan Fun Run PDRM Tawau di sini, hari ini.

Peter berkata pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan dan jika terdapat bukti kukuh, pertuduhan akan dilaksanakan dan  suspek akan dituduh di mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan selepas peperiksaan SPM tamat.

Semalam media melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Tawau ditahan reman selama tiga hari, atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah yang sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

 Berkaitan program itu Peter berkata  ia merupakan platform sesuai bagi mengeratkan hubungan antara polis dengan komuniti setempat dalam usaha mencegah jenayah.

Justeru katanya, masyarakat  harus bertindak sebagai mata dan telinga kepada polis dalam melakukan pencegahan jenatah di kawasan penempatan masing-masing.

Selain menghubungi balai polis terdekat, orang awam juga boleh menggunakan aplikasi 'Volunteer Smartphone Patrol' (VSP) iaitu menyalurkan maklumat jenayah menerusi kaedah digital, katanya.

Seramai 600 peserta mengambil bahagian acara Fun Ride serta Fun Run PDRM Tawau sempena program komuniti polising dilaksanakan polis daerah ini.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan