POLITIK

Pilihan Raya Negeri Sarawak masih jadi teka-teki

16/11/2019 09:17 PM

KUCHING, 16 Nov  -- Masih tiada tarikh jelas bila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan diadakan, walaupun topik itu disentuh pada konvensyen pertama Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, hari ini.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilihat masih berteka-teki, berhubung pilihan raya tersebut, sedangkan beliau ada menyebut mengenainya pada konvensyen yang dihadiri lebih 5,000 delegasi itu. 

“Bila pilihan raya saya sik (tak) tau, tetapi kita mesti bersedia mempertahankan hak dan negeri Sarawak,  kerana kita ada agenda lebih besar selepas ini,” katanya ketika berucap sebelum menutup konvensyen sehari berkenaan.

PRN Sarawak ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya adalah pada Mei 2021.

Namun, mengikut rekod, kebiasaannya PRN negeri diadakan setiap empat tahun.

Mengenai konvensyen itu, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata ia diadakan bagi memberi penjelasan kepada anggota GPS, bagaimana negeri berkenaan ditadbir selama GPS dibentuk sejak Jun tahun lepas untuk memerintah negeri berkenaan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan