AM

Taman-Taman Sabah agensi pemandu pastikan pemuliharaan rizab biosfera Banjaran Crocker

16/11/2019 04:57 PM

PENAMPANG, 16 Nov -- Pengisytiharan kawasan Rizab Biosfera Banjaran Crocker sebagai satu daripada tapak program Manusia dan Biosfera UNESCO adalah komitmen Kerajaan Negeri kepada masyarakat antarabangsa berhubung dengan pemuliharaan alam semula jadi.  

Ketua Penolong Pengarah Taman-Taman Sabah, Ludi Apin berkata banjaran itu dan kawasan di persekitarannya seluas 350,584 hektar adalah dua tapak Rizab Biosfera yang ada di negara ini dengan satu lagi di Tasik Chini, Pahang.

“Taman-Taman Sabah telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri sebagai agensi pemandu bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang diisytiharkan sebagai tapak UNESCO pada 2014 . 

"Bagaimanapun, ia juga menjadi tanggungjawab Taman-Taman Sabah bersama semua pihak berkepentingan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Pusat Biodiversiti Sabah dan pelbagai lagi agensi yang berkaitan serta komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pameran dan Taklimat Rizab Biosfera Banjaran Crocker Daerah Penampang yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Jenifer Lasimbang di Kampung Madsiang di sini, hari ini.

Peranan pihak berkepentingan penting untuk sama-sama memastikan komitmen pemeliharaan dan pemuliharaan rizab itu bertambah baik dan berkekalan.

Ludi berkata, Rizab Biosfera Banjaran Crocker merangkumi sebahagian daripada sembilan kawasan pentadbiran daerah iaitu Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Beaufort, Tenom, Keningau, Tambunan, Ranau dan Penampang.

Rizab Biosfera dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan. 

Zon Teras terdiri daripada Kawasan Taman Banjaran Crocker dan Hutan Simpan Banjaran Crocker, Hutan Simpan Rafflesia, Hutan Simpan Kawang. 

Menurut beliau, Zon Penampan terdiri daripada kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan perlindungan dan pemuliharaan sumber air, dan simpanan warta kerajaan yang lain seperti tadahan air dan padang ragut, manakala Zon Transisi adalah zon pembangunan seperti biasa yang harus berteraskan pembangunan mampan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan