KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Ancaman keselamatan bukan tradisional merupakan antara perkara yang disentuh dalam perbincangan dua hala Malaysia-Indonesia sempena lawatan rasmi Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto hari ini.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai kepentingan strategik dan operasi, selain menyentuh aspek landskap keselamatan global yang dinamik.
"Perkara lain yang turut disentuh ialah ancaman keganasan yang menjadi fokus utama kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan rasmi Prabowo di Wisma Perwira di sini, hari ini.
Beliau berkata Malaysia sentiasa menganggap Indonesia sebagai jiran yang penting dan sahabat akrab dengan jalinan diplomatik sejak 62 tahun lalu.
Sementara itu, Prabowo melahirkan keyakinan pelbagai kerjasama baharu dalam bidang pertahanan akan terjalin antara kedua-dua negara selepas ini.
"Saya yakin hubungan pertahanan kami semakin baik… banyak pemikiran dan pandangan saya bersama Mohamad adalah sama… kami akan cari bentuk kerjasama pertahanan yang baharu seperti bidang industri teknikal pertahanan," katanya.
Kunjungan Prabowo selama dua hari ke Malaysia adalah lawatan ulung beliau selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan Indonesia pada 23 Okt lalu di bawah Kabinet baharu penggal kedua pemerintahan Presiden Joko Widodo.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial