AM

Beli barangan pada harga borong di Karnival Jualan i-KeeP Langkawi

14/11/2019 05:52 PM

LANGKAWI, 14 Nov-- Penduduk pulau ini berpeluang membeli barangan keperluan harian dengan harga borong menerusi penganjuran Karnival Jualan i-KeeP 'Pulun Belanja' di Dataran Sungai Kuah, di sini bermula dari hari ini hingga Sabtu. 

Pegawai Tadbir Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, Zamre Yahya berkata karnival tiga hari itu merupakan program anjuran pusat khidmat berkenaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS).

"Karnival jualan bermula jam 2.30 petang tadi hingga 10 malam Sabtu. Sebanyak tiga kontena barangan keperluan harian dibawa khas untuk memberi peluang kepada penduduk Langkawi berbelanja pada harga borong.

Antara barangan keperluan harian yang dijual ialah gula, minyak masak, tepung gandum, beras dan sebagainya. Selain membeli pada harga borong, turut diadakan 'masa riang ria' selama sejam tiga kali sehari yang  mana barangan akan dijual pada harga sangat rendah jadi kita jemput semua untuk datang memeriahkan  karnival ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kerajaan melancarkan inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) yang menawarkan barang keperluan harian pada harga tiga hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran di premis kendalian rakan strategik peruncitan yang menyertai inisiatif itu.

Zamre berkata pihaknya juga akan menyediakan kupon bernilai RM1,500 sehari untuk diagihkan kepada pengunjung yang datang untuk berbelanja di karnival itu.

Beliau berkata berkata selain karnival jualan barangan keperluan harian, turut diadakan acara sampingan lain seperti 20 gerai jualan makanan dan minuman, sukaneka kanak-kanak dan dewasa, pertandingan makan buah-buahan tempatan, demonstrasi memasak, ceramah agama, cabutan bertuah dan lain-lain lagi.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan