KUALA TERENGGANU, 14 Nov -- Bekas pemain bek kiri Felda United, Arif Fadzilah Abu Bakar mengakui teruja dapat kembali ke Terengganu musim depan dan bermain untuk pasukan negeri sendiri.
Arif berkata beliau sudah lama 'mengidam' untuk menyarung jersi Terengganu FC (TFC) kerana pernah berkhidmat untuk pasukan T-Team dan TFC ll sebelum ini.
Justeru tawaran yang dihulurkan oleh Ketua Jurulatih (TFC), Nafuzi Zain untuk beliau menyertai skuad Penyu diumpamakan seperti 'orang mengantuk disorongkan bantal' dan sukar dilepaskan.
"Ketika ditawarkan oleh Nafuzi saya semacam tidak percaya dan terasa bagai bermimpi. Bagaimanapun mungkin sudah tertulis rezeki saya tahun depan di Terengganu dan terima kasih tidak terhingga kepada jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang telah memberi saya peluang.
"Kerana 'ghairah' untuk kembali ke Terengganu, saya juga telah menolak untuk menyambung kontrak dengan majikan lama (Felda United) dan tawaran baharu dari Petaling Jaya City," katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain Arif Fadzilah, TFC sebelum ini turut mengumumkan kemasukan dua lagi pemain baharu iaitu bekas kapten pasukan Perak, Mohamad Nasir Basharudin dan penyerang kebangsaan Singapura, Muhammad Faris Ramli yang akan memperkuatkan pasukan itu musim depan.
Mengulas lanjut Arif yang merupakan bekas pemain skuad kebangsaan bawah 23 tahun berkata, beliau juga bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan memberi persembahan terbaik musim depan.
"Saya idamkan untuk mendapat satu piala pada musim depan kerana belum pernah merasainya nikmat menjulang piala sepanjang karier," katanya yang berharap agar tuah mengiringi TFC musim depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial