AM

Bekas komander UPPS didenda RM24,000 terima rasuah RM4,500

13/11/2019 02:56 PM

ALOR SETAR, 13 Nov -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM24,000 terhadap bekas Komander Unit Pencegahan Penyeludupan Sempadan (UPPS), Bukit Kayu Hitam yang kini dikenali sebagai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas mengaku salah atas tiga tuduhan pilihan menerima rasuah sebanyak RM4,500 pada 2014.

Hakim Murtazadi Amran memerintahkan tertuduh Shahidan Ladin, 64, yang kini telah pun bersara membayar denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan itu dan sekiranya gagal berbuat demikian boleh dipenjara enam bulan untuk setiap pertuduhan berkenaan.

Murtazadi berkata mahkamah menjatuhkan hukuman itu berdasarkan pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Dalam untuk mahkamah menjatuhkan hukuman elemen atau faktor utama adalah berdasarkan kepada kepentingan awam. Mahkamah berikan pertimbangan lebih kepada kepentingan masyarakat untuk menjatuhkan hukuman,” katanya.

Untuk rekod, pada asalnya tertuduh dituduh mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Shahidan bersetuju mengaku salah.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Komander UPPS didakwa menerima untuk diri sendiri wang tunai RM1,500 dengan tiada balasan daripada Md Zamri Md Saman yang tertuduh mengetahui ada perhubungan dengan kerja rasminya di gudang minyak tidak bernombor, Kampung Remia Manis dekat Padang Terap lebih kurang 1.52 petang, 24 Sept 2014.

Pertuduhan pilihan kedua pula, Shahidan dituduh menerima wang tunai RM1,500 daripada orang yang sama di lokasi sama lebih kurang 11.52 pagi pada 23 Okt tahun yang sama manakala bagi pertuduhan pilihan ketiga pula dia juga didakwa melakukan kesalahan sama di perkarangan tempat letak kereta Hospital Kuala Nerang dekat Padang Terap lebih kurang 1.05 petang pada 28 Nov tahun yang sama.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Iszam Kamal Ismail.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan