DUNIA

Pasar Vietnam pertama bakal dibuka di Malaysia pada Mac 2020

12/11/2019 02:48 PM

HO CHI MINH CITY, 12 Nov -- Pasar Vietnam pertama yang mempunyai 200 ruang kedai dijadual dibuka di Malaysia pada Mac 2020.

Perkara itu diumum baru-baru ini dalam satu majlis di Ho Chi Minh City, lapor agensi berita Vietnam (VNA). 

Presiden Kumpulan Safuan Malaysia Tan Sri Matshah Safuan berkata Pasar Vietnam di Kuala Lumpur itu bakal menjadi pusat perdagangan terbesar pertama, hasil kerjasama antara kedua-dua negara.

"Ia diwujudkan berikutan permintaan barangan dan perkhidmatan Vietnam di Malaysia. Pasaran itu akan berfungsi sebagai jambatan untuk meningkatkan eksport barangan Vietnam ke Singapura, Thailand dan pasaran lain di ASEAN," katanya.

Pasar Vietnam itu akan terletak di bangunan Safuan Plaza.

Bakal menghimpunkan pelbagai jenis perniagaan yang mengeksport produk pertanian, makanan laut, kraftangan, pakaian, peralatan mekanikal, mesin, kosmetik, teknologi proprietari dan industri perkhidmatan Vietnam, selain menjadi lokasi untuk firma Vietnam mengembangkan operasi di Malaysia.

Timbalan Pengarah Pusat Promosi Pelaburan & Perdagangan HCM City (ITPC) Nguyen Tuan berkata Malaysia adalah rakan dagang keenam terbesar Vietnam, selepas China, Korea, Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand serta rakan kongsi kedua terbesar Vietnam di ASEAN.

Vietnam pula rakan perdagangan ke-12 terbesar Malaysia dan keempat terbesar di ASEAN.

Selain itu, Vietnam merupakan satu daripada pembekal utama beras Malaysia, menurut Tuan.

Pada 2018, nilai eksport barangan Vietnam bernilai US$8.47 bilion ke Malaysia manakala nilai import berjumlah US$4.77 bilion. 

Nilai pasaran pada separuh pertama tahun 2019, masing-masing berjumlah US$3.52 bilion dan US$1.95 bilion.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan