AM

Benarkan pelancong asing sewa motosikal berkuasa tinggi - MOTAC

10/11/2019 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya  mengeluarkan permit khas bagi pelancong asing yang ingin menyewa dan menunggang motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Isham Ishak berkata ketika ini, timbul masalah apabila pelancong asing tidak dibenarkan menyewa dan menunggang motosikal berkuasa tinggi meskipun mereka mempunyai lesen memandu.

“Saya akan menulis cadangan ini kepada KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian Pengangkutan esok untuk dipertimbangkan sebagai salah satu usaha menggalakkan lebih ramai pelancong ke Malaysia.

"Mungkin dengan inisiatif yang baik ini kita dapat membantu penunggang asing  datang ke Malaysia untuk menyewa motosikal dan menunggang di jalan raya di Malaysia terutamanya di jalan pantai timur dan Borneo," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menampal pelekat logo Visit Truly Asia Malaysia 2020 pada motosikal berkuasa tinggi anjuran MOTAC dan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi DZ Bikers di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi DZ Bikers Datuk Zailan Mohamed berkata langkah menyediakan permit khas itu akan memacu ekonomi khususnya industri pelancongan.

Katanya, ia juga akan membantu pemain industri motosikal berkuasa tinggi di negara ini dari segi sewaan motosikal kerana sememangnya terdapat banyak permintaan daripada pelancong asing.

“Jadi, jika permit dikeluarkan ia akan lebih selamat terutamanya sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kemalangan,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 300 peserta daripada kelab-kelab motosikal antaranya dari Singapura, Indonesia, Jerman dan United Kingdom menyertai konvoi bermotosikal bagi jelajah sekitar ibu negara khususnya di lokasi tumpuan pelancong.

-- BERNAMA

    


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan