PORT DICKSON, 9 Nov -- Seramai 850 pegawai dan anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850-6 menerima Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.
Kumpulan itu yang diketuai Kol Azhan Md Othman selaku Komander MALBATT 850-6, terdiri daripada 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), seorang pegawai awam kewangan daripada Kementerian Pertahanan serta tiga pegawai dan 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Pasukan MALBATT 850-6 baru menamatkan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.
Anugerah itu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan berkenaan menjalankan misi UNIFIL di Lubnan selama setahun mulai 24 Sept tahun lepas.
Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Left Jen Datuk Kamalruzaman Mohd Othman TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menyampaikan anugerah itu yang diadakan sempena perbarisan pembubaran Malbatt 850-6 dan upacara menanggalkan beret biru PBB di padang kawad Pusasda di sini.
Turut hadir, Panglima Angkatan Bersama Left Jen Datuk Suhaimi Mohd Zuki dan wakil-wakil panglima perkhidmatan tentera darat, laut dan udara.
Malbatt 850-6 telah diaturgerakkan kembali ke tanah air secara empat peringkat yang mana kumpulan pertama tiba pada 2 Okt lepas dan kumpulan terakhir pada 30 Okt.
Misi seterusnya telah diambil alih oleh Malbatt 850-7 mulai 17 Okt lalu, juga selama setahun.
Sementara itu, Kamalruzaman ketika berucap berkata secara keseluruhannya, prestasi tinggi yang dipamerkan oleh Malbatt 850-6 telah berjaya meneruskan kesinambungan kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia di Lubnan dan PBB.
"Sikap profesional dan komitmen yang dipamerkan merupakan kunci kepada kejayaan misi ini. Justeru penganugerahan pingat perkhidmatan PNBB ini merupakan pengiktirafan PBB atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan.
"Saya berharap kejayaan dan pengalaman dalam melaksanakan misi UNIFIL di Lubnan akan menjadi pencetus semangat kepada mereka untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Semoga segala pengalaman yang diperoleh semasa menyertai misi ini dapat dimanfaatkan dan dijadikan iktibar perihal pentingnya nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi," katanya.
Sementara itu, Pegawai Staf 1Gerak Malbatt 850-6 Leftenan Kolonel Nazaruddin Ismail berkongsi pengalaman selama 12 bulan di Lubnan dengan menyifatkan cabaran semasa berkhidmat di sana adalah dari segi bahasa.
"Kebanyakan rakyat Lubnan ini berbahasa Arab dan hanya segelintir boleh berbahasa Inggeris tetapi ia tidak menjadi halangan untuk kami berkomunikasi dengan mereka selain pelaksanaan operasi juga mencabar apabila kebanyakan laluan di sana agak terhad, sempit, tidak boleh dilalui oleh kenderaan dan sebagainya," katanya.
Pegawai Perubatan Kanan Mej (Dr) Sharifah Lini Malihan Syed Khalid pula berkata penerimaan baik masyarakat setempat kepada doktor dan jururawat perempuan semasa berkhidmat di sana memberi suatu pengalaman baharu dalam berkongsi masalah kesihatan dengan lebih mudah terutama kepada pesakit wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial