BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 AM

Bantuan RM3.3 juta disalur kerajaan bantu Orang Asli Suku Batek

08/11/2019 09:50 PM

KOTA BHARU, 8 Nov -- Peruntukan sebanyak RM3.3 juta bagi membantu masyarakat Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang terkesan dengan jangkitan demam campak baru-baru ini, nyata banyak membantu masyarakat itu terutama dari segi ekonomi.

Seorang penerima bantuan, Juhi Daud, 48, berkata menerusi pemberian peruntukan dalam bentuk pertanian oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membantu beliau meningkatkan pendapatan keluarganya.

"Sejak dulu kami memang menanam pelbagai jenis sayur-sayuran termasuk ubi kayu dan keledek, jagung, terung dan kacang tetapi untuk kegunaan kami sendiri selain dijual secara kecil-kecilan kepada penduduk kampung berdekatan.

Bagaimanapun, setelah Jakoa dan Jabatan Pertanian datang mengajar kami kaedah pertanian menggunakan teknologi baharu, kami sudah tahu cara menggunakan mesin pengupas kulit jagung serta diberikan benih labu dan terung," katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Perasmian #ANAKMALAYSIATINGGI di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Dr Juli Edo dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin.

Pada majlis itu, Wan Ahmad Uzir turut menyampaikan pemberian wang ehsan RM500 hingga RM5,000 kepada 68 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli Suku Batek dari Kuala Koh susulan tragedi kematian 15 orang daripada masyarakat itu akibat jangkitan demam campak baru-baru ini.

Juhi berkata penduduk juga diajar cara-cara menggunakan set generator selain cara penggunaan cangkul dengan teknik betul bagi mendapatkan hasil tanaman yang lebih banyak.

Seorang lagi penerima bantuan, Lan Hamdan, 25, berkata selepas tragedi yang meragut nyawa 15 masyarakat Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh baru-baru ini, penduduk turut menerima bekalan air bersih yang dirawat selain bekalan elektrik yang semakin baik berbanding dahulu.

"Sebelum ini kita menggunakan air sungai dan sekarang ini Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah beberapa kali datang ke Kuala Koh untuk memberi penerangan dan mengadakan pemasangan paip air dari rumah ke rumah," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Hasnah Latif, 30, meluahkan hasrat mahu belajar menjahit menggunakan mesin jahit jika rancangan untuk mengadakan kelas jahitan oleh Jakoa direalisasikan.

"Saya sudah pandai menjahit menggunakan tangan, boleh jahit kain sendiri dan kain sarung. Saya belum pernah lagi belajar cara jahitan menggunakan mesin.

Selain itu, saya juga pandai jahit manik baju dan mengambil upah menjahit secara kecil-kecilan. Kalau ada mesin, saya harap saya dapat buat lebih banyak dan tambah duit," katanya.

Kerajaan membelanjakan RM3.3 juta bagi membantu masyarakat Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang terkesan dengan jangkitan demam campak baru-baru ini, membabitkan pembinaan Sistem Bekalan Elektrik Talian Grid berjumlah RM2 juta oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), sistem rawatan air berkualiti tinggi bernilai RM800,000 dan RM434,000 untuk menampung pelbagai keperluan termasuk bekalan makanan mengikut syor Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga sedang menyediakan penanaman kontan bagi sayur terung dan labu sebagai sumber makanan dan punca pendapatan tambahan kepada 53 ketua isi rumah.

Di samping itu, Jakoa telah melatih anak tempatan sebagai tenaga kerja untuk sekolah komuniti dan merancang menyediakan kelas jahitan untuk ibu selain Kerajaan Persekutuan dalam perancangan untuk menubuhkan Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan