KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Datuk Seri Subahan Kamal akan terus memenang tampuk Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) untuk tempoh empat tahun lagi, selepas berjaya mempertahankan jawatannya itu dengan menang tanpa bertanding.
Subahan yang mula memegang jawatan presiden pada tahun 2015 juga tanpa bertanding, mengekalkan jawatan itu selepas pencabarnya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia BHD Datuk Kamarudin Meranun, gagal mendapatkan minima tiga pencalonan, daripada persatuan-persatuan.
Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra Bipin Chandra mengumumkan Subahan menerima 13 pencalonan, manakala Kamarudin yang dikatakan akan mencabar jawatan itu, hanya menerima dua pencalonan pada waktu pencalonan ditutup pada 3 petang, Sabtu lepas.
Subahan akan diumumkan secara rasmi sebagai pemenang pemilihan itu, yang dijadualkan semasa Mesyuarat Agung MHC ke-66 pada 16 Nov.
MHC mempunyai 16 persatuan di bawahnya yang merangkumi 14 buah negeri, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, di mana setiap persatuan boleh menghantar dua wakil (32 undi).
“Mengikut perlembagaan MHC, untuk pemilihan presiden, calon mesti menerima minima tiga pencalonan, manakala bagi jawatan lain, memadai satu pencalonan.
“Kamaruddin tidak memenuhi syarat mendapatkan minima tiga pencalonan, jadi Subahan menang tanpa bertanding,” katanya pada sidang media diadakan di ibu pejabat MHC di Stadium Hoki Nasional di sini hari ini.
Dengan perkembangan ini, fokus tertumpu kepada pertandingan kepada jawatan nombor dua iaitu timbalan presiden.
Pemegang jawatan itu George Koshy tidak mempertahankan jawatan itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menjadi pilihan untuk jawatan timbalan presiden lelaki selepas mendapat 14 pencalonan, manakala Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur Datuk Megat D Shahriman Zaharudin dan Jadadish masing-masing menerima satu pencalonan.
Untuk jawatan timbalan presiden wanita, pemegang jawatan Prof Datuk Dr Shamala yang menerima 13 pencalonan, sekali lagi akan dicabar bekas pemain kebangsaan, K.Maheswari yang mendapat dua pencalonan.
Subahan dan Shamala sejak tahun lepas menyatakan mereka tidak akan bertanding semula, jika pasukan lelaki negara gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun menukar fikiran untuk terus memegang jawatan.
Pasukan Harimau Malaysia gagal layak ke sukan Olimpik, selepas tewas secara agregat 3-9 kepada Great Britain, minggu lepas.
Manakala bagi jawatan tujuh naib presiden (minimum dua dari setiap gender), 17 lelaki dan lima wanita dicalonkan.
“Calon-calon yang ingin menarik diri boleh berbuat demikian sehingga Jumaat. Kami berharap pemilihan akan berjalan mengikut lunas demokrasi dan telus. Kami akan mempunyai pemerhati yang akan mengawal selia pemilihan ini, kerana kami tidak mahu timbul persoalan atau pertikaian selepas itu,” katanya.
Senarai calon Naib Presiden
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial