JASIN, 5 Nov -- Polis Melaka akan mengambil tindakan sekiranya terdapat pihak tertentu yang dilapor mewujudkan tabung mengutip dana atau sumbangan tanpa kebenaran pihak berkuasa di negeri ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata pihaknya memberi peringatan kepada mana-mana institusi, kumpulan atau individu untuk tidak mengambil kesempatan menggunakan Islam bagi menggerakkan tabung kutipan derma itu.
“Tindakan akan diambil terhadap pihak terlibat sekiranya terdapat laporan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) atau Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan aktiviti tanpa permit atau kebenaran itu.
"Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa laporan berkaitan aktiviti kutipan derma oleh institusi berkaitan agama termasuk melibatkan pelajar tahfiz atau anak yatim,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Jasin dan Majlis Perasmian Rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Rumah Kelab di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.
Mat Kasim mengulas laporan akhbar hari ini berhubung sebuah sekolah pondok di daerah Jasin yang didakwa mengutip derma RM1.8 juta sebulan walaupun surat pembatalan pusat pendidikan oleh JAIM sudah dilakukan pada 14 Okt lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata orang ramai yang ingin melakukan ibadah sedekah atau menderma digesa menyalurkannya ke tabung atau institut yang diiktiraf pihak berkuasa bagi menguruskan kutipan itu agar ia tidak disalah guna.
Dalam perkembangan lain, Mat Kasim berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam pengambilan air ketum.
Beliau berkata ini kerana pengambilan barang larangan itu adalah menjadi satu kesalahan walaupun digunakan untuk tujuan kesihatan.
"Tiada alasan bagi pegawai atau anggota polis di negeri ini mengambil air ketum dan kita tidak akan berkompromi terhadap sesiapa sahaja dalam pasukan yang terlibat dan setakat ini tiada kes direkodkan," katanya.
Terdahulu, beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat ke atas Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Arshad Abu yang dinaikkan pangkat ke Supt dan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Alor Gajah yang baharu berkuat kuasa esok.
Kekosongan jawatan Ketua Polis Daerah Jasin dipangku sementara oleh Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Jasin, ASP Fadzilah Mohd Nor.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan