AM

Tawar pendidikan bahasa ketiga, Kun Kwan jadi pengerat bangsa

31/10/2019 02:14 PM

JOHOR BAHRU, 31 Okt (Bernama) -- Menyedari bahasa ketiga sebagai medium perpaduan bangsa, Kun Kwan International Mandarin Training Centre menjadikan pusat pendidikan sebagai ruang untuk berani berkomunikasi antara satu sama lain.

Siapa sangka, pusat pendidikan kelas Mandarin itu mendapat sambutan daripada pelbagai kaum.

Menurut Pengurus Kun Kwan Sdn Bhd Kent Ng, pengambilan tenaga pengajar terbuka kepada semua kaum dan warganegara Malaysia, supaya pelajar berasa lebih selesa berinteraksi.

"Sehingga kini, kami mempunyai seramai 10 tenaga pengajar yang terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, India dan Cina," katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah di pejabatnya, baru-baru ini.

Graduan Diploma Psikologi dari Universiti Tun Abdul Razak itu juga berkata pengajar perlu lebih dekat dan mesra supaya pelajar tidak menghadapi sebarang halangan dalam proses pembelajaran.

Bagi Pengajar Kun Kwan, M. Preshantini, 21, kemahiran berbahasa Mandarin diterapkan oleh keluarga seawal tadika lagi bagi menaikkan minat untuk menjadi warga pendidik.

“Menempatkan pelbagai kaum dalam satu kelas, kami turut melaksanakan aktiviti pembelajaran seperti soal dan jawab yang menggalakkan mereka berkomunikasi,” kata wanita berbangsa India itu, yang juga pensyarah di International Management School Singapore.

Sementara itu, seorang pelajar, Ashraf Jamil berkata kelebihan berbahasa Mandarin dijadikan nilai tambah untuk bertukar pekerjaan lebih baik di samping dapat berkenalan dengan kaum lain.

“Saya baru ditawarkan sebagai akauntan di sebuah kilang di Pasir Gudang tiga bulan lepas kerana kemampuan saya berkomunikasi dalam bahasa Mandarin," katanya yang telah menuntut di Kun Kwan selama setahun lebih.

Selain itu, pemuda berusia 29 tahun itu berkata, jambatan perpaduan dapat disemai apabila sering berkomunikasi dan berkenalan sesama sahabat berlainan bangsa.

Sehingga kini, Kun Kwan berjaya mendidik seramai 6,000 pelajar sejak pembukaan pusat pendidikan itu pada 2013 dan dijangka akan membuka satu lagi cawangan di Shah Alam, Selangor pada tahun hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan