KUALA LUMPUR, 25 Okt — Hong Leong Group memperuntukkan RM40 juta bagi Pusat Inovasi Bersepadu HLX (HLX) untuk mengurus, membangunkan dan mengendalikan ekosistem menumpukan kepada mempercepatkan inovasi dalam ekonomi digital.
HLX, yang dimiliki sepenuhnya oleh Guocoland Malaysia Bhd, diuruskan oleh HLX Management Sdn Bhd. Guocoland Malaysia adalah cabang hartanah Hong Leong Group.
Pengurus Besar HLX Management Mohd Reezan Mohd Fadzil berkata syarikat itu memperuntukkan 250,000 kaki persegi ruang atau 15 tingkat daripada 32 tingkat Menara HLA di Jalan Kia Peng yang akan dibangunkan sebagai hab digital.
“Setakat ini, kira-kira 35 peratus daripada kemudahan prasarana telah siap dan kami akan bersedia sepenuhnya menjelang Disember 2020," katanya pada taklimat media mengenai HLX.
Kira-kira 100,000 kaki persegi telah ditempah terutamanya di aras enam, termasuk ruang kerja bersama warga Vietnam (50,000 kaki persegi) dan akademi latihan tempatan KCOM Group, yang menduduki ruang kira-kira 16,500 kaki persegi.
Menurut Mohd Reezan, dalam tempoh tiga hingga empat bulan lepas, HLX dihubungi oleh 40-50 syarikat yang mana separuh daripadanya adalah syarikat antarabangsa.
Daripada jumlah syarikat antarabangsa itu, beliau berkata, 20-25 peratus adalah dari United Kingdom dengan 40 peratus dari Australia, 20-25 peratus dari Asia dan 10 peratus lain-lain.
“Kami berhati-hati dalam mengendalikan pemula niaga yang bertepatan,” katanya sambil menambah HLX merancang mengumpulkan bersama syarikat pemula niaga, korporat, rakan kongsi teknologi, mentor dan pemodal teroka ke pusat inovasi bersepadunya ( IIC).
Beliau berkata IIC adalah inisiatif yang menggabungkan akses pasaran dan kerjasama korporat bagi meningkatkan pelaburan ke dalam ekosistem inovasi Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pada masa hadapan, Mohd Reezan berkata beliau menjangka pewujudan nilai keseluruhan ekosistem dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang menerusi inisiatif HLX adalah kira-kira US$500 juta bagi korporat dan pemula niaga dari segi penjimatan kos, kecekapan, margin keuntungan serta membuka arus pendapatan baharu.
Beliau berkata sekiranya semua berjalan mengikut perancangan, HLX mungkin pada masa hadapan mengambil alih baki ruang dalam bangunan HLA, dengan sejumlah 400,000 kaki persegi ruang tersedia untuk pengembangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial