FOKUS BERNAMA

Pelihara Adat Resam Deepavali

24/10/2019 12:03 PM

Oleh Sakini Mohd Said

PETALING JAYA (Bernama) -- Dengan berbaki hanya beberapa hari, penganut agama Hindu di Malaysia pastinya sedang rancak membuat persiapan untuk menyambut perayaan Deepavali atau di sesetengah tempat dipanggil Diwali, yang akan disambut Ahad ini.

Di samping pakaian baharu, aksesori perhiasan rumah mahupun diri, hari istimewa ini juga bagaikan tidak lengkap tanpa ‘Vilakku’ iaitu pelita tradisi yang diperbuat daripada tanah liat untuk dipasang semasa perayaan berkenaan. 

Sinonim dengan Deepavali yang turut digelar pesta cahaya, biasanya setiap rumah tidak ketinggalan dengan hiasan pelita ini sama ada menggunakan Vilakku ataupun pelbagai jenis lampu moden elektrik bagi memeriahkan lagi suasana perayaan. 

Di sebalik kedudukan penting pelita tradisi ini dalam perayaan Deepavali, sejak kebelakangan ini terdapat trend dalam kalangan masyarakat India moden khususnya di bandar yang meminggirkan Vilakku dan keadaan ini membimbangkan Persatuan Malaysia Hindu Sangam. 

Presidennya, Datuk RS. Mohan Shan berkata situasi tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana pelita yang memancarkan cahaya itu mempunyai erti yang amat besar dalam agama Hindu terutamanya semasa perayaan Deepavali. 

“Persatuan agak bimbang dengan kebanyakan anak muda keturunan India hari ini yang sedikit sebanyak mula melupakan adat resam dan budaya sambutan Deepavali yang sepatutnya diamalkan. Paling asas seperti pemasangan pelita pun sudah tidak dibuat. 

“Sedangkan pemasangan pelita ketika Deepavali adalah wajib. Kami lihat ada generasi hari ini menganggap Deepavali sebagai satu perayaan moden dan lupa tujuan asalnya,” katanya kepada Bernama dalam temubual baru-baru ini. 

 

KEPENTINGAN PELITA

Tidak menyalahkan generasi berkenaan, Mohan berkata situasi tersebut berlaku adalah disebabkan kebanyakan daripada mereka tidak memahami apa makna atau simboliknya pemasangan pelita dan cahaya pada hari istimewa tersebut. 

Keadaan ini membuatkan persatuan berpandangan perlu untuk semua anggota masyarakat India dan penganut agama Hindu untuk kembali memahami maksud sebenar perayaan berkenaan.

Beliau lalu berkongsi maksud Deepavali serta sejarah di sebalik perayaan itu.

Menurut Mohan, Deepavali bermaksud sebarisan pelita, hasil daripada gabungan perkataan ‘Dipa’ iaitu cahaya dan ‘Aavali’ yang bererti barisan, yang sudah begitu jelas menunjukkan kepentingan cahaya dalam perayaan berkenaan dan ia tidak boleh dipandang ringan. 

Tanpa pelita, beliau berkata perayaan Deepavali itu tidak ada maknanya atau memenuhi matlamat mengapa ia diraikan. 

“Adalah pelik sekiranya meraikan Deepavali tanpa pelita kerana makna perayaan itu sahaja sudah mempunyai maksud pesta cahaya. Cahaya itu adalah satu keunikan, kemuliaan dalam agama Hindu malah ia dilakukan setiap kali kami hendak sembahyang.  

“Dan Deepavali adalah hari kemuliaan yang akan memberi kecerahan dalam kehidupan kita dan kerana kemulian itulah wajib dipasang pelita atau lampu,” katanya. 

Dengan pemasangan pelita, penganut agama Hindu percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. 

Ia berdasarkan beberapa kepercayaan daripada kisah sejarah sebelum ini iyakni bagaimana tercetusnya perayaan tersebut.

Namun, bagi masyarakat agama Hindu negara ini yang majoritinya berasal dari India Selatan mempercayai perayaan ini diraikan berdasarkan lagenda Raja Narakasura dan Dewa Maha Krishnan. 

Menurut Mohan, Raja Narakasura yang berlaku kejam terhadap rakyatnya ditewaskan serta dibunuh oleh Dewa Maha Krishnan, dan kerana itulah pelita dipasang serta dinyalakan di rumah penganut agama Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan. Hari kemenangan itu dirayakan sebagai Deepavali. 

 

KOLAM-CANTIK ATAU SEBALIKNYA?

Selain itu, Mohan turut menyuarakan kebimbangan dengan kemungkinan generasi masa hari ini tidak mengetahui tujuan sebenar mengapa ‘kolam’ itu dihiasi di depan setiap pintu rumah penganut agama Hindu. Kolam atau rangoli merupakan hiasan lantai yang menyerupai pelbagai bentuk flora dan fauna antaranya adalah burung merak. 

Biasanya ia perlu dilakukan sebelum matahari terbit sebagai tanda selamat dan rahmat supaya setiap isi rumah mendapat kesejahteraan. 

Menggunakan tepung beras yang tidak diwarnakan sebagai bahan asasi dalam seni kolam, corak yang dihasilkannya adalah berwarna putih.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini terdapat kecenderungan di mana ramai yang mula membuat kolam dengan beras berwarna-warni sehingga meminggirkan bahan asalnya iaitu tepung beras. 

“Tidak salah untuk mewarnakan kolam kerana zaman sudah berubah. Namun, kita risau sekiranya generasi muda ini mula melupai tujuan sebenar mengapa kolam itu perlu ada di setiap rumah apabila fokus pada perhiasan untuk nampak cantik semata-mata. 

“Sebab utama membuat kolam adalah ia sebagai makanan untuk serangga dan burung di sekitar rumah dan kerana itulah ia menggunakan tepung beras. Ini kerana agama Hindu menggalakkan pengikutnya untuk melakukan kebajikan kepada semua termasuk haiwan. 

“Justeru, kami meminta masyarakat penganut Hindu untuk turut sama menggunakan tepung beras dalam perhiasan kolam mereka. Tidak mengapa, walaupun ia hanya sedikit digunakan berbanding beras berwarna-warni, asalkan ia ada,” katanya. 

Selain itu, Mohan turut menegur sikap segelintir generasi muda yang mengambil kerja mudah dengan hanya membeli pelekat kolam yang kini begitu banyak dijual di pasaran. Baginya, tindakan tersebut bukan sahaja tidak bermakna bahkan tidak memenuhi matlamat mengapa kolam itu dilakukan. 

Selain faktor memberi makanan kepada serangga ia juga sebagai lambang penyembahan Dewi Lakshimi, Dewi Kekayaan yang dipercayai akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan kolam di depan pintu masuk rumah. 

 

KESEDARAN 

Menyedari situasi berkenaan, Persatuan Malaysia Hindu Sangam sebagai badan terbesar penganut agama Hindu negara ini dan mempunyai lebih daripada 140 cawangan di seluruh negara, mula memberi penekanan jitu terhadap permasalahan tersebut. 

Pelbagai kempen, program mahupun kelas agama yang dilakukan dengan kerjasama kuil giat diadakan di seluruh negara bagi memberi pendidikan mahupun pendedahan akan kepentingan menerapkan nilai adat resam Deepavali atau apa sahaja berkaitan dengan agama ini kepada generasi masa kini. 

“Tidak salah untuk gembira pada hari Deepavali tetapi kalau boleh kita mahu amalan adat resam yang diamalkan selama ini akan terus diperkukuhkan dan dijaga rapi dalam kalangan generasi muda agar ia tidak luput ditelan zaman. 

“Oleh itu kami mengajak masyarakat penganut agama Hindu untuk meraikan perayaan tahun ini dengan menghayati kembali adat resam dan budaya Deepavali,” katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan