KENINGAU, 23 Okt -- Kursus Pra Persaraan bagi bakal-bakal pesara di kalangan warga pendidik di negeri ini akan bermula pada tahun hadapan, kata Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Pesara-Pesara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini, hari ini, beliau berkata kursus itu sangat penting sebagai persiapan pesara untuk menghadapi alam persaraan.
Sebanyak 85 pesara menerima sijil penghargaan masing-masing, meliputi 46 dari Keningau, 19 dari Tenom, 15 dari Tambunan dan lima dari Nabawan.
“Saya pastikan pada Tahun 2020 kursus ini akan diadakan. Ada yang menjadi mangsa scam (penipuan) menyaksikan kehidupan pesara sangat menyedihkan selepas bersara daripada perkhidmatan,” katanya.
Ditanya mengenai pengisian kursus tersebut, Mistirine berkata ia meliputi mengenai penyediaan dokumen-dokumen berkaitan persaraan serta bimbingan bagaimana menghadapi kehidupan yang sihat dan boleh menyumbang tenaga kepada masyarakat serta negara selepas persaraan.
Beliau berkata jabatannya juga boleh mengambil tenaga pesara sebagai guru ganti kepada kakitangan yang sedang bercuti bersalin dan mengerjakan ibadah haji.
Mengenai guru bukan siswazah, Mistirine berkata bilangan guru berkenaan terlalu sedikit di negeri Sabah.
“Kita akui mereka ada (guru bukan siswazah) dan ia bukan masalah besar kerana mereka juga terlatih sama seperti guru-guru siswazah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial