KUANTAN, 22 Okt -- Sebanyak 50,000 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai lebih RM120,000 berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah premis haram di Taman Pandan 2 di sini, petang ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang Mohd Suffian Mohd Abass berkata rampasan minyak masak dipercayai untuk diedar ke negeri lain secara haram itu adalah hasil risikan anggotanya yang mengekori sebuah lori tangki ke premis berkenaan.
"Selepas lori berkenaan singgah di sebuah premis lain di Gambang, di sini, tanpa menurunkan muatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa, ia meneruskan perjalanan ke lokasi premis haram di Taman Pandan 2 di mana pihak KPDNHEP telah membuat serbuan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis haram itu dijadikan tempat memunggah minyak masak berkenaan untuk dipindahkan ke dalam bekas kontena yang boleh memuat 1,000 kilogram minyak masak bagi setiap kontena.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat sebuah lagi lori di premis haram berkenaan. Secara keseluruhannya, KPDNHEP menyita semua peralatan di premis itu termasuk 20 bekas kontena dan dua buah lori," katanya.
Tiga suspek yang berumur antara 40-an hingga 50-an turut ditahan bagi merekod keterangan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial