AM

UMT mahu teroka lebih banyak ekspedisi mencari fosil

22/10/2019 02:59 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Okt -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mempelopori lebih banyak ekspedisi khas untuk mencari fosil yang masih belum ditemui di negeri ini.

Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata buat permulaan, universiti itu akan menganjurkan Ekspedisi Memburu Fosil Marin pada Januari tahun hadapan.

Beliau berkata ekspedisi tersebut adalah susulan penemuan fosil tumbuhan berusia 300 juta tahun yang dijumpai semasa kerja-kerja penggalian bagi pembinaan Empangan Paya Peda dekat Besut pada tahun 2013.

"Selepas itu (Oktober 2014), sekumpulan penyelidik dan pensyarah beberapa universiti menemui fosil dinosaur termasuk kesan tapak kaki, tulang dan gigi (spesies Theropod, Iguanodontid dan Sauropod) di Gunung Gagau, Hulu Terengganu yang dianggarkan berusia 65 juta tahun.

"Jadi, kita percaya masih banyak fosil yang belum ditemui di Terengganu dan optimis ia akan ditemui dalam ekspedisi kali ini kerana pencarian sepanjang ekspedisi akan tertumpu di Keruak, Besut dan Bukit Bucu berhampiran Batu Rakit di sini yang dipercayai terletaknya fosil tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan fosil tumbuhan berusia 300 juta tahun oleh Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Galian Malaysia Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi kepada UMT untuk kerja-kerja penyelidikan, di sini hari ini.

Fosil terbabit dikatakan wujud sebelum zaman dinasour iaitu ketika hutan paya menguasai alam sekitar dalam tempoh yang dikenali sebagai Carboniferous hingga Early Permian.

Nor Aieni berkata penyerahan fosil itu diumpamakan bagai 'pucuk dicita ulam mendatang' kerana fosil tersebut dipercayai fosil tumbuhan paling lengkap yang pernah ditemui dan yang tertua di negara ini.

"Kami di UMT sangat gembira dengan penyerahan fosil ini kerana ia adalah permulaan kepada lebih banyak sejarah lampau yang boleh diterokai yang secara tidak langsung menjadi daya tarikan pelancong ke Terengganu.

"Justeru, kami berharap ekspedisi kali ini akan disertai lebih ramai pakar dan pihak yang berminat untuk menggali kesan sejarah purba yang terdapat di Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan