SEREMBAN, 21 Okt -- Pembantu makmal sekolah melahirkan kebimbangan terhadap cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat.
Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM), Kementerian Pendidikan Semenanjung Malaysia Ashaari Maarof berkata sekiranya perkara itu dilaksanakan pembantu makmal sains bimbang perkhidmatan mereka akan terjejas dan lebih parah sekiranya ditamatkan.
“Walaupun perkara ini belum dimuktamadkan tetapi tidak bermakna kita berdiam, andai kata perkara ini berlaku kita bimbang akan berlaku perkara-perkara yang libatkan proses penstrukturan perjawatan atau perkhidmatan perjawatan pembantu makmal akan terjejas dan sebagainya.
“Dalam sesebuah sekolah ada empat jenis makmal iaitu makmal kimia, fizik, biologi dan sains am dan bagi seluruh Malaysia terdapat lebih 20,000 makmal sains yang menggunakan perkhidmatan pembantu makmal ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Ketika ini, terdapat 11,000 orang pembantu makmal yang bertugas di sekolah menengah harian dan asrama seluruh Malaysia, Sekolah Agama di bawah Kementerian Pendidikan, Kolej Matrikulasi termasuk Institut Pendidikan Guru.
Tambah Ashaari, pihaknya berhasrat untuk bertemu dengan KPM bagi meluahkan pendapat KSKM secara terperinci untuk dinilai dan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat mengenainya.
"Kami berharap pihak KPM dapat melihat semula supaya tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan urusan sepertimana diuar-uarkan selain melihat perkara ini secara komprehensif supaya mereka yang terlibat dibawah kementerian tidak akan rasa terjejas," katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata KPM tidak terburu-buru berhubung pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat sebaliknya sedang meneliti segenap aspek termasuk libat urus dan penggajian.
Menjelaskan perkara itu, Maszlee berkata pihaknya akan mengumumkan berkenaan pemansuhan itu apabila tiba masanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial