KOTA BHARU, 21 Okt -- Seorang lelaki yang memuat naik satu hantaran di laman Facebook mendakwa adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri Almarhum Sultan Ismail Petra adalah ‘anak angkat’ dan berasal dari kampung, tampil memohon maaf secara terbuka hari ini.
Shaiful Afzan Mahamed, 38, berkata beliau dengan rasa rendah diri memohon kemaafan dan keampunan daripada Tengku Amalin A’ishah Putri atas kesalahan yang telah dilakukan itu.
“Saya tidak berniat untuk mengaibkan atau menjatuhkan nama baik dan martabat Institusi Diraja dan Usrah Kelantan dengan memuat naik kenyataan berbentuk fitnah begitu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Shaiful Afzan menyampaikan permohonan maaf kepada peguam Majdah Muhamad yang mewakili Tengku Amalin A’ishah Putri.
Shaiful Afzan yang berasal dari Kampung Pantai Irama, Bachok berkata, beliau insaf dan kesal dengan apa yang telah dilakukan, selain telah ditahan reman selama seminggu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pengkalan Chepa pada 18 Sept lalu, ekoran tindakannya itu.
Lelaki itu turut berjanji perkara sebegini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang dan menyesal atas perbuatannya, serta mengharapkan pengampunan daripada adinda Sultan Kelantan itu.
“Saya juga berharap perkara ini turut memberi pengajaran bukan sahaja kepada diri saya, namun kepada warganet yang lain agar berhati-hati apabila memuat naik komen di laman sosial,” katanya.
Sementara itu, Majdah berkata beliau akan menyampaikan surat permohonan maaf berkenaan kepada Tengku Amalin A’ishah Putri.
“Saya akan menyampaikan permohonan maaf ini dan akan menunggu titah dari Tengku Amalin (A’ishah Putri) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Pada 17 Sept lepas, Tengku Amalin A’ishah Putri membuat laporan polis berkaitan satu fitnah yang dimuat naik seorang pengguna laman Facebook.
Difahamkan, kenyataan berunsur fitnah yang tersebar di laman Facebook Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) Version 0.2 itu mengatakan adinda Sultan Kelantan itu, bukanlah puteri bongsu Almarhum Sultan Ismail Petra bersama Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Kenyataan yang dimuat naik itu ternyata berunsur fitnah dan memalukan puteri bongsu yang bergelar Tengku Maharani Putri Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial