POLITIK

Perancangan, strategi betul antara faktor tentukan kemenangan PH di Tanjung Piai

21/10/2019 04:30 PM

JOHOR BAHRU, 21 Okt -- Perancangan dan strategi yang betul oleh jentera parti antara faktor yang boleh menentukan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, bulan depan.

Ketua Pemuda DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berkata walau bagimanapun, pelbagai faktor lain termasuk faktor calon dan pengundi luar, juga dilihat antara faktor penentu lain yang perlu di ambil kira.

“Untuk PRK Tanjung Piai, saya terlibat dalam jentera untuk DAP dan apa yang boleh saya katakan di sini parti-parti dalam PH, kita semua memang memberikan fokus untuk persiapan PRK ini...dan insyaAllah semuanya di landasan yang betul dan kita akan bekerja sehabis baik untuk kemenangan PH.

“Kita dalam PH semua, pemuda wanita semua berkerja bersama-sama akan bekerja keras. Bukan mudah untuk di PRK Tanjung Piai tetapi kita boleh berusaha kuat untuk memastikan kemenangan PH di Tanjung Piai, dengan strategi yang betul, kita boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas melawat hab belia di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini hari ini.

Sheikh Umar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh berkata pihaknya telah memulakan  rangka strategi untk menghadapi PRK sejak kerusi Tanjung Piai kosong.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai strategi DAP menerusi jentera pemuda menjelang PRK pada 16 Nov nanti.

Sementara itu, Sheikh Umar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri itu berkata hab belia itu bukan sekadar tempat untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah khusus untuk golongan muda, malah diharapkan menjadi pusat kegiatan ekonomi kreatif bertaraf antarabangsa.

Hab belia itu yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) di atas tanah berkeluasan 15 ekar itu, dibangunkan sejak 2017 dan menelan belanja sebanyak RM14 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan