AM

MB Selangor arah PKNS buat kajian tanah mendap di Rumah Pangsa Jalan Tun Razak

21/10/2019 02:39 PM

CYBERJAYA, 21 Okt -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah diarahkan untuk membuat kajian mengenai insiden tanah mendap di Rumah Pangsa PKNS, Jalan Tun Razak, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Khamis lepas, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

"Saya dah arahkan PKNS untuk segera dapatkan result kajian, sebagaimana yang berlaku di Ulu Klang tempoh hari. Mereka akan turun dengan kadar segera dan kos kajian akan mereka tanggung,” katanya, sambil menambah kerajaan negeri masih belum menerima laporan lengkap berhubung insiden itu.

Saya dah minta CEO (ketua pegawai eksekutif PKNS) untuk ambil tindakan supaya kajian dibuat apakah kesannya, adakah ia hanya permukaan atau struktur yang membahayakan penduduk atau tidak," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon @ Cyberjaya, di sini hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Kejadian tanah mendap Rumah Pangsa PKNS itu mengakibatkan 67 orang diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Jalan Hamzah, Kuala Lumpur.

Amirudin  berkata sekiranya ada sebarang pemindahan penduduk, pihaknya akan mendapatkan nasihat dari pihak berkuasa yang berkaitan.

Pada majlis hari ini, Amiruddin turut melancarkan  Garis Panduan Pembangunan Mampan @Sepang (GPPMS) dan aplikasi pintar i-Sepang.

Beliau berkata GPPMS itu mempunyai elemen Bandar Selamat, Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon, yang akan memandu MPS dalam menterjemahkan pembangunan bandar secara holistik.

"Ketiga-tiga elemen ini kalau kita gabungkan dengan serasi ia akan menjadikan Cyberjaya kawasan yang berdaya huni yang agak tinggi di Selangor iaitu selesa, selamat, maju dan berteknologi tinggi,”katanya.

Mengenai aplikasi i-Sepang, Amirudin berkata ia membolehkan penduduk di Sepang mendapatkan perkhidmatan MPS secara dalam talian dengan lebih efektif dan efisien, serta memuatkan maklumat terkini mengenai Daerah Sepang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan