EKONOMI

Jangkaan pertumbuhan global lebih tinggi sejajar dengan unjuran KDNK Malaysia

18/10/2019 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Jangkaan pertumbuhan ekonomi global meningkat kepada 3.4 peratus tahun depan daripada tiga peratus pada tahun ini sejajar dengan unjuran peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang lebih tinggi sebanyak 4.8 peratus daripada 4.7 peratus pada tahun ini dalam Belanjawan 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata faktor utama kepada pertumbuhan global ialah multilateralisme yang memanfaatkan semua bersifat inklusif dan merupakan hasil lebih baik daripada unilateralisme yang hanya mahu menguntungkan sesebuah negara.

“Seperti perang dagangan antara AS dan China yang telah membawa kebinasaan lingkungan kepada negara lain, unilateralisme akan merugikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata multilateralisme dan kolaborasi antarabangsa adalah perkara asas yang memungkinkan pelaksanaan yang berterusan, padu dan berintegrasi merentas sempadan. 

“Malaysia akan terus menyokong multilateralisme untuk mendapatkan perdagangan yang bebas dan adil serta liberalisasi perdagangan yang tidak melumpuhkan secara tidak adil dan mengenakan tarif pada negara-negara membangun,” katanya.

Beliau berkata Malaysia turut menyeru semua negara berganding bahu ke arah meluaskan kolaborasi antarabangsa untuk mencapai hasil perdagangan yang saling memberi manfaat.

Dalam perkembangan lain, katanya Malaysia menjadi pengerusi Southeast Asia Voting Group (SEAVG) Kumpulan Bank Dunia (WBG) - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk Mesyuarat Pentadbir Bersama ke-52 kelompok tersebut yang diadakan di Washington baru-baru ini. 

Beliau berkata mesyuarat tersebut merupakan sebahagian daripada Mesyuarat Tahunan WBG-IMF 2019, yang terdiri daripada 10 negara-negara ASEAN, Nepal dan beberapa negara kepulauan Pasifik.

“Dalam Mesyuarat Gabenor-Gabenor Bersama yang saya pengerusikan, mesyuarat membincangkan mengenai prospek pertumbuhan global, kesan perang dagangan dan ekonomi digital yang menggunakan Malaysia sebagai contoh,” katanya.

 -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan