AM

Gerak kerja DUN Seremban Jaya dipantau ahli Parlimen Rasah - Loke

13/10/2019 01:30 PM

SEREMBAN, 13 Okt -- Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin akan memantau segala gerak kerja khidmat bakti kepada masyarakat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya ekoran ketiadaan wakil rakyatnya P. Gunasekaran yang kini ditahan polis sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ini bagi memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada mendapatkan bantuan dan khidmat.

“Gerak kerja tiada masalah sebab beliau mempunyai satu pasukan khidmat iaitu ahli-ahli majlis dan ada pegawai di pusat khidmatnya. Ia juga dipantau oleh Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin.

“Dari segi khidmat kepada rakyat memang tidak akan terjejas yang mana kita akan teruskan kerja-kerja beliau sementara beliau tidak bersama dengan rakyat ketika ini. Saya rasa tidak memberi kesan terhadap kawasan DUN tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Gunasekaran di kediamannya di sini yang turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dalam pada itu, Loke meminta siasatan terhadap timbalannya itu dapat diselesaikan dengan segera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan