EKONOMI

Belanjawan 2020 bakal ubah landskap ekonomi

11/10/2019 08:43 AM

KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Banyak pihak meletakkan harapan tinggi terhadap Belanjawan 2020 dengan langkah-langkah yang akan meningkatkan permintaan domestik dan merangsang ekonomi berikutan tekanan luar terutamanya ketegangan perdagangan,  telah menjejaskan permintaan luar.

Antara Januari dan Julai 2019, lebihan perdagangan Malaysia meningkat 15.9 peratus kepada RM81.62 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, tetapi jumlah dagangan turun 1.4 peratus kepada RM1.06 trilion.

Ramai rakyat Malaysia telah berkongsi harapan dan aspirasi besar mereka terhadap belanjawan, yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.

Ini termasuk harapan untuk melihat pelaksanaan inisiatif sosio-ekonomi yang memberi kesan langsung terhadap transformasi digital yang sedang dilaksanakan di bawah revolusi perindustrian keempat.

Orang ramai ingin mengetahui inisiatif yang dirancang untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dan peluang lebih baik yang ditawarkan untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan berkualiti.

Sementara itu, banyak ahli ekonomi menzahirkan harapan agar belanjawan itu memberikan hala tuju yang lebih baik daripada kerajaan berhubung wawasannya dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan.

Mereka juga menggesa bagi penyatuan fiskal secara sederhana oleh kerajaan memandangkan prospek ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Pakar percukaian mahu perhatian khusus diberikan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan meningkatkan pentadbiran cukai semasa.

Mereka percaya kerajaan harus mengurangkan cukai pendapatan peribadi untuk meningkatkan pendapatan boleh guna supaya rakyat akan mempunyai lebih banyak kuasa beli untuk mewujudkan kesan sampingan bagi meningkatkan penggunaan domestik.

Bagi pasaran perumahan, penggiat industri itu menggesa kerajaan mempertimbangkan intervensi pasaran untuk menangani isu bekalan berlebihan dan harga terlalu tinggi bagi hartanah kediaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Satu perkara yang pasti, kerajaan Pakatan Harapan sedang mendengar kehendak rakyat, dan pada masa yang sama  cuba menunaikan janjinya untuk memulihkan Malaysia kembali kepada fiskal yang kukuh menjelang 2022, walaupun telah mewarisi kedudukan kewangan yang membimbangkan.

Majoriti penganalisis berkata Belanjawan 2020 akan mencerminkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan yang bertujuan untuk menyusun semula ekonomi dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan