AM

Amarjit dinasihat terus bertugas sebagai Pengarah JANS

10/10/2019 10:55 PM

KOTA KINABALU, 10 Okt -- Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS) Datuk Amarjit Singh meneruskan tugas dan tanggungjawab menggalas jawatan itu hari ini selepas mendapat nasihat daripada Kabinet Negeri Sabah dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Amarjit berkata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony turut mengarahkan beliau untuk pergi bekerja.

"Saya dinasihatkan oleh Kabinet Negeri semalam untuk meneruskan kerja. Ketua Menteri juga ada menghubungi saya semalam dan beliau kata pergi bekerja. Saya kata Ok. Menteri juga kata pergi kerja," katanya ketika ditanya pemberita berhubung statusnya sebagai pengarah jabatan itu di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan pelantikan Amarjit sebagai Pengarah JANS tidak sah kerana bertentangan dengan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air 2003.

Keputusan itu dibuat Hakim Ravinthiran R Paramaguru, berhubung kes difailkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Progresif Sabah pada 19 Mac lepas bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Amarjit pada Ogos tahun lepas tidak mengikut undang-undang.

Teck Lee dan seorang ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung ketika memfailkan kes itu menyatakan bahawa pelantikan berkenaan bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Seksyen 3 dalam enakmen itu menyatakan bahawa pelantikan jawatan kanan mestilah dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Sebelum dilantik sebagai Pengarah JANS oleh kerajaan baharu Sabah diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) Amarjit bukan seorang anggota perkhidmatan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan